ANGGOTA polis yang dipercayai mencederakan seorang guru dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu . FOTO L Manimaran
ANGGOTA polis yang dipercayai mencederakan seorang guru dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu . FOTO L Manimaran
Muhammad Apendy Issahak


Pengkalan Hulu: Anggota polis yang dipercayai mencederakan guru di Lenggong, Gerik direman empat hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman terhadap konstabel berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Nasrul Hadi Abdul Ghani di Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu, hari ini.

Anggota polis berkenaan dibawa ke mahkamah pada 8.30 pagi menaiki kereta polis dan proses permohonan reman selesai sejam kemudian.

Difahamkam anggota polis berkenaan sudah berkhidmat sejak 2003 dan kini bertugas di Balai Polis Lenggong.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi dalam satu kenyataan malam tadi mengesahkan anggota polis itu ditahan semalam berhubung kes berkenaan yang berlaku pada 7.15 malam 30 Ogos lalu.

Menurutnya, anggota berkenaan ditahan dan disiasat kerana dipercayai mencederakan orang awam iaitu guru Sekolah Kebangsaan Bukit Sapi, Lenggong dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Rakaman video kejadian berdurasi 20 saat yang menunjukkan dua lelaki berpakaian biasa dikatakan anggota polis memberkas guru berkenaan dengan cara kasar termasuk memulas tangan guru berkenaan untuk digari mula tersebar di media sosial semalam terutama di Facebook dan juga beberapa blog.

Turut tersebar penerangan daripada seorang individu mengenai kejadian yang mengatakan mangsa adalah seorang guru yang baru selesai kelas tambahan untuk murid calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mangsa patah tangan akibat kekasaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 12:07 PM