Rakaman keadaan Sungai Ara menerusi tinjauan LUAS. Foto Ihsan LUAS
Rakaman keadaan Sungai Ara menerusi tinjauan LUAS. Foto Ihsan LUAS
Iskandar Shah Mohamed


PUNCA pencemaran yang menyebabkan ratusan ikan mati di Sungai Kayu Ara berhampiran Kampung Cempaka, Petaling Jaya kelmarin, dipercayai akibat air sisa kumbahan.

Ia berikutan bacaan Ammoniakal Nitrogen (AN) tinggi hasil daripada persampelan yang diambil Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi dan Inovasi negeri Hee Loy Sian berkata, pihaknya mengarahkan LUAS segera menjalankan siasatan selepas menerima aduan mengenai pencemaran itu.

“JAS (Jabatan Alam Sekitar) memaklumkan punca pencemaran mungkin daripada air sisa kumbahan berikutan bacaan AN yang tinggi.

“Dianggarkan terdapat enam loji kumbahan terletak berhampiran sungai di sepanjang Sungai Kayu Ara bermula di hulu sehingga hilir.

“Selain mengambil persampelan air, pemantauan udara (dron) mendapati keadaan sungai di titik hulu tiada bangkai ikan ditemui.

“Namun, bangkai ikan ditemui mengalir bermula hulu sehingga ke hilir sungai itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, keputusan persampelan LUAS mendapati bacaan AN di hulu adalah tinggi di sekitar kawasan Taman Mayang yang berkemungkinan daripada loji rawatan kumbahan.

“Ia berkemungkinan kerana faktor pencairan (dilution factor). Kawasan berdekatan hulu sungai boleh menjadi salah satu potensi punca utama berlaku ikan mati atau sebaliknya.

“Berdasarkan kualiti air sungai yang dijalankan semalam, kualiti air sungai berada pada keadaan normal bagi kebanyakan parameter kecuali AN yang mencatatkan bacaan tinggi sehingga 5.4 mg/l.

“Parameter biasa dikaitkan dengan fenomena ikan mati adalah Oksigen Terlarut (Dissolved Oxygen, DO) dan suhu juga berada pada keadaan baik,” katanya.

Menurut Loy Sian, persampelan turut sudah dihantar kepada Jabatan Kimia bagi saringan parameter logam dan logam berat.

“Kerja pembersihan sisa ikan dijalankan oleh kontraktor bermula semalam dan bersambung hari ini,” katanya.

Beliau berkata, tindakan perundangan akan diambil JAS mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 yang juga perundangan subsidiari di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Jika membabitkan punca daripada loji rawatan kumbahan dan mana-mana orang yang melanggar peraturan itu, ia suatu kesalahan boleh disabitkan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

“Denda selanjutnya boleh dikenakan tidak lebih RM1,000 sehari bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan,” katanya memaklumkan LUAS akan menjalankan pemantauan berkala di lokasi berkenaan bagi melihat keadaan kualiti air Sungai Kayu Ara terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 7:31 PM