JAS Selangor menjalankan siasatan punca kematian ratusan ikan di Sungai Damansara. FOTO ihsan JAS selangor.
JAS Selangor menjalankan siasatan punca kematian ratusan ikan di Sungai Damansara. FOTO ihsan JAS selangor.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor masih menyiasat punca sebenar kematian ratusan ikan di Sungai Damansara, semalam.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, siasatan awal yang dijalankan pihaknya mendapati ikan yang mati adalah dari spesis ikan bandaraya (Hypostomus plecostomus) dan tilapia hitam (Oreochromis mossambicus) yang terdampar di sepanjang lima kilometer sungai berkenaan.

"Pengujian di Sungai Kayu Ara berhampiran struktur perangkap sampah mendapati terdapat air sungai yang sedikit berbuih dan bacaan oksigen terlarut adalah 4.5 miligram per liter.

"Melalui program pengawasan secara berkala, JAS menjalankan persampelan kualiti air sungai di lima lokasi sepanjang sungai berkenaan dan berdasarkan cerapan pada Mei 2021, pengkelasan sungai itu berada dalam Kelas II dan Kelas III, Standard Kualiti Air Sungai Kebangsaan.

"JAS juga menyelusuri bahagian hulu serta hilir sungai dan memfokuskan kepada punca pencemaran yang berpotensi dalam lingkungan 10 kilometer dari lokasi ikan ditemui mati," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kategori punca yang diperiksa membabitkan beberapa kilang berasaskan minuman dan makanan, pusat komersial, pelepasan 'storm water' daripada kawasan perumahan dan loji rawatan kumbahan awam.

Katanya, semasa siasatan dijalankan, dua loji rawatan kumbahan awam turut diperiksa dan sebanyak enam sampel pelepasan kumbahan terawat diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis kimia.

Beliau berkata, ia bagi memastikan pematuhan kepada standard pelepasan kumbahan terawat yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

"JAS masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kejadian kematian ikan berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini dipohon tampil bagi membantu siasatan.

"Saya juga ingin mengingatkan bahawa JAS sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar. Sebarang aduan pencemaran boleh terus dilaporkan ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 5:42 PM