Norzamira Che Noh


Shah Alam: Stor pembuangan sisa berjadual di Taman Velox, Rawang disyaki menjadi punca pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, hasil serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan lain-lain mendapati premis berkenaan terletak kira-kira 700 meter dari Sungai Gong.

"Kita mengesan premis itu membuang sisa ke dalam tandas dengan penemuan hos dan beberapa peralatan lain.

"Untuk makluman, pihak Indah Water Konsortium (IWK) menerima sisa buangan berwarna merah sejak 4 November lalu dan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) seterusnya menutup loji mereka.

"Laporan polis juga sudah dibuat SPAN bagaimanapun, saya hairan mengapa kerajaan negeri (LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd) tidak dimaklumkan mengenai perkara ini," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab soalan tambahan daripada R Rajiv (PH-Bukit Gasing) mengenai pencemaran sumber air di Sungai Selangor semalam.

Loy Sian berkata, sekiranya kerajaan negeri mendapat makluman awal, sudah pasti tindakan mengesan premis yang bertanggungjawab akan dilakukan pada kadar segera.

"Ini adalah kali keempat risiko yang ditimbulkan oleh IWK iaitu dua di Bukit Mahkota, Cheras; satu di Batang Kali serta yang terbaharu di Rawang (semalam) dan mereka perlu bertanggungjawab menjaga premis mereka," katanya.

Semalam, empat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang di sini, terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau seakan-akan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor sekitar 12.20 hingga 12.45 tengah hari.

Susulan itu, Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan, 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat, akan mengalami gangguan bekalan air mulai 6 petang semalam.

LOY Sian ketika berucap pada Persidangan DUN Selangor. FOTO Faiz Anuar
LOY Sian ketika berucap pada Persidangan DUN Selangor. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 12:33 PM