Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
BERNAMA

Shah Alam: Berdasarkan persampelan kualiti air Sungai Semenyih yang dianalisis susulan pencemaran sehingga memaksa Loji Rawatan Air (LRA) sungai itu dihenti tugas semalam, penemuan awal mendapati pencemaran itu mungkin berpunca daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memasukkan efluen ke dalam sungai.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, insiden pencemaran dipercayai berlaku antara 1 pagi dan 7 pagi semalam, kerana ketika itu paras air sungai adalah tinggi susulan hujan lebat di bahagian hulu.

Beliau berkata, berdasarkan analisis yang dikeluarkan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), antara bahan kimia yang didapati terkandung di dalam sampel air di LRA Sungai Semenyih adalah trichloromethane; acetic acid; dan benzene.

"Sehubungan itu, tindakan pemeriksaan bersepadu akan dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terhadap premis-premis yang berkaitan efluen itu di bahagian hulu Sungai Semenyih bagi memastikan isu ini tidak berulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hee berkata, tindakan tegas kepada pelaku boleh dikenakan selaras dengan Seksyen 79(1)(a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan didenda tidak kurang RM200,000 dan tidak melebihi RM1 juta, terhadap mereka yang disabit dengan kesalahan berkaitan pencemaran sumber air.

Terdahulu Hee berkata, LUAS menerima laporan daripada Air Selangor berhubung pencemaran bau sehingga satu ton yang dikesan di muka sauk Jenderam Hilir LRA Sungai Semenyih pada 11.10 pagi semalam yang menyebabkan LRA itu terpaksa dihenti tugas.

Pemantauan Ops Sumber Air Negeri Selangor yang diurussetiakan oleh LUAS bersama agensi berkaitan seperti JAS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Air Selangor telah menjalankan siasatan ke beberapa lokasi bagi mengenal pasti punca pencemaran tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 5:25 PM