DR Khoo (kiri) bersama Ar Hajeedar pada sidang media selepas Siri Wacana Cendekiawan ATMA di bilik Senat, Bangunan Canselori, UKM.
DR Khoo (kiri) bersama Ar Hajeedar pada sidang media selepas Siri Wacana Cendekiawan ATMA di bilik Senat, Bangunan Canselori, UKM.
Amir Abd Hamid dan Muhammad Saufi Hassan

Bangi: Kapitan Yap Ah Loy bukan individu yang membuka Kuala Lumpur, sebaliknya hanya bertanggungjawab terhadap pembangunan semula kota raya berkenaan selepas berlaku perang saudara membabitkan pembesar lain.

Kesimpulan itu dibuat selepas perbincangan ilmiah anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) mengenai persoalan berhubung Apakah Kuala Lumpur dibuka oleh Yap Ah Loy? semalam.

Pengarah ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Supyan Hussin berkata, hasil perbincangan antara dua tokoh iaitu Pengerusi Majlis Warisan Kebangsaan Datuk Ar Hajeedar Abdul Majid dan pakar sejarah Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim bersepakat bahawa Yap Ah Loy hanya bertanggungjawab membangunkan semula Kuala Lumpur.

“Kesimpulan itu dibuat berdasarkan beberapa fakta sejarah yang begitu nyata. Jika Yap Ah Loy membuka Kuala Lumpur sedangkan dia dilantik sebagai Kapitan Ketiga, bagaimana taraf dua lagi kapitan sebelumnya.

“Melihat daripada fakta itu saja jelas bercanggahan maklumat. Yap Ah Loy dipersetujui individu yang bertanggungjawab membangunkan semula Kuala Lumpur atas restu sultan ketika itu dan British,” katanya selepas wacana ilmiah itu yang diadakan di Bangunan Canselori, UKM, semalam.

Dr Supyan berkata, diskusi ilmiah ini hanya permulaan untuk penulisan semula sejarah tempatan yang kebanyakannya ditulis oleh barat.

“Penulisan sejarah dari barat ini ada yang betul, ada yang tidak. Jadi, perlu ada penulisan semula sejarah berdasarkan fakta yang jelas,” katanya.

Selain itu, Hajeedar berkata, sejarah yang wujud sekarang banyak mengambil pandangan barat dan sejak di bangku sekolah lagi semua generasi beranggapan bahawa Kuala Lumpur dibuka oleh Yap Ah Loy.

“Kita melihat bahawa Founder of Kuala Lumpur (yang menemui atau pengasas) adalah Yap Ah Loy sedangkan konteks bahasa founder itu memberi maksud yang berbeza dan bukannya sebagai pengasas.

“Diskusi ilmiah ini sebagai pencetus, mungkin ATMA akan mengadakan beberapa siri lagi wacana ilmu, sekali gus membuat kesimpulan yang tuntas berkenaan hal ini.

“Namun untuk masa ini, saya bersama Prof Khoo (Tan Sri Dr Khoo Kay Kim) membuat kesimpulan bahawa Yap Ah Loy bertanggungjawab membangunkan Kuala Lumpur bukan membukanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 6:40 AM