ANGGOTA imigresen memeriksa warga asing yang ditahan dalam serbuan semalam. FOTO ihsan JIMPP
ANGGOTA imigresen memeriksa warga asing yang ditahan dalam serbuan semalam. FOTO ihsan JIMPP
Hadzlihady Hassan


KEJAR sampai jatuh. Itu yang berlaku terhadap seorang anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang (JIMPP) apabila dia cedera ketika cuba menahan warga asing yang melarikan diri dalam serbuan, kelmarin.

Dalam kejadian di restoran di Bandar Baru Ayer Itam jam 9.40 pagi itu, anggota berkenaan dikatakan terjatuh ketika mahu menahan lelaki warga Myanmar yang cuba meloloskan diri selepas melihat anggota terbabit masuk ke premis berkenaan.

Bagaimanapun, usaha lelaki itu gagal apabila dia berjaya ditahan anggota serbuan lain yang terlebih dulu mengepung kawasan itu.

Pengarah JIMPP, Muhamad Husni Mahmud berkata, dalam serbuan itu pihaknya memeriksa seramai 14 warga asing yang bekerja di restoran berkenaan.

“Hasilnya mendapati 12 daripada mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan bekerja secara haram di restoran terbabit.

“Anggota penguat kuasa mengalami luka dan terseliuh akibat insiden itu namun beliau masih komited untuk menjalankan serbuan di beberapa lokasi lain,” katanya.

Muhamad Husni berkata, dalam Op Bersepadu yang dijalankan bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengah malam itu, pihaknya melakukan serbuan di restoran, kedai makan, kedai gunting rambut dan kedai runcit serta rumah kediaman yang menjadi tumpuan warga asing tinggal sebagai sasaran operasi.

Operasi berkenaan dilakukan sekitar Georgetown, Bayan Baru, Butterworth dan Seberang Jaya.

Hasil daripada serbuan yang dijalankan, seramai 40 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati bukan saja ada antara mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah malah turut tinggal di negera ini melebihi masa ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 5:30 AM