PATI warga India yang ditahan Jabatan Imigresen Pulau Pinang  kerana bekerja tanpa dokumen sah.
PATI warga India yang ditahan Jabatan Imigresen Pulau Pinang kerana bekerja tanpa dokumen sah.
Hadzlihady Hassan


NIBONG TEBAL: Tindakan pemilik sebuah restoran nasi kandar menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja di premis mereka bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah dikhuatiri boleh mengundang pelbagai penyakit.

Perbuatan itu terbongkar apabila sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang (JIMPP) menyerbu dua restoran nasi kandar di Taman Rasa Ria dan Sungai Jawi, di sini, Jumaat lalu.

Dalam serbuan jam 9 pagi itu, seramai 11 pekerja lelaki warga India dan seorang warga Bangladesh ditahan selepas tidak mempunyai pas atau dokumen perjalanan sah.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JIMPP, Kholijah Mohamad berkata, semua ditahan bukan saja tiada dokumen atau pas sah, malah lebih membimbangkan sudah semestinya mereka tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan yang diwajibkan kepada pekerja restoran.

“Menjadi tanggungjawab majikan dan pengendali makanan yang diluluskan pengambilan pekerja asing untuk sektor perkhidmatan di restoran mendapatkan suntikan vaksin anti-typhoid bagi mengawal penularan penyakit.

“Bagi majikan yang diluluskan pengambilan pekerja asing untuk sektor perkhidmatan di restoran, mereka akan mendapatkan suntikan berkenaan terhadap pekerja masing-masing tetapi sekiranya PATI diambil bekerja, tiada suntikan pelalian dilakukan menyebabkan kesihatan masyarakat terancam,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan itu, tiga premis masing-masing dua restoran nasi kandar dan sebuah kilang diperiksa.

“Seramai 30 pekerja warga asing diperiksa dan 12 daripada mereka didapati tidak mempunyai sebarang dokumen sah.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 6:00 AM