Antara PATI yang ditahan dalam operasi hari ini. FOTO Ihsan JIMPP
Antara PATI yang ditahan dalam operasi hari ini. FOTO Ihsan JIMPP
Hadzlihady Hassan


BARU nak keluar meronda kena cekup pula. Itu yang berlaku terhadap sekumpulan warga asing apabila mereka dicekup dalam operasi di kawasan parkir bas, Penang Sentral, Butterworth hari ini.

Dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang (JIMPP) bermula jam 9 pagi hingga 3 petang itu, 70 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan kerana tiada dokumen sah.

Operasi terbabit dilakukan hasil risikan daripada maklumat awam berikutan ramai warga asing mengambil kesempatan cuti sempena Tahun Baru Cina menggunakan perkhidmatan bas.

Ketika ditahan, kebanyakan mereka memberitahu mengambil kesempatan cuti umum untuk ke Georgetown berjumpa rakan dan bersiar-siar.

Mereka didapati menaiki bas seterusnya ke terminal feri berhampiran untuk ke bahagian pulau dan pulang semula ke tanah besar ketika petang.

Timbalan Penolong Pengarah JIMPP, Izham Idris berkata, dalam operasi itu 976 warga asing diperiksa dan 70 daripada mereka didapati tidak mempunyai dokumen sah.

Menurutnya, PATI yang ditahan itu terdiri daripada 59 lelaki dan 11 wanita dengan semua warga asing yang diperiksa berasal dari Indonesia, Nepal, Myanmar, Bangladesh dan India.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 6:01 PM