SEBAHAGIAN daripada 13 pendatang asing tanpa izin (PATI)  ditahan Jabatan Imigresen Pulau Pinang (JIMPP) semasa serbuan di Plaza Summit, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan JIMPP
SEBAHAGIAN daripada 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Pulau Pinang (JIMPP) semasa serbuan di Plaza Summit, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan JIMPP
Hadzlihady Hassan


JIKA sebelum ini mereka hanya bekerja di kilang, restoran atau tapak pembinaan, namun sekarang sudah menjadi ahli perniagaan dengan menjual pelbagai barang di Plaza Summit, di Bukit Mertajam.

Itu yang dikesan dilakukan sekumpulan warga Myanmar apabila mereka kini sudah menjadi tauke dengan memonopoli perniagaan di kompleks beli belah terbabit.

Bagaimanapun, mereka yang sedang rancak menjalankan urus niaga dalam premis berkenaan terkedu apabila diserbu sepasukan anggota Jabatan Imigresen Pulau Pinang (JIMPP), semalam.

Timbalan Penolong Pengarah JIMPP Izham Idris berkata, dalam serbuan 3 petang itu, seramai 37 warga asing diperiksa dan 20 daripadanya ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Serbuan dilakukan di enam lot kedai dan seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan itu terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita warga Myanmar.

“Selebihnya pula terdiri daripada tiga lelaki Pakistan, Bangladesh (1), Nepal (1), wanita Indonesia (1) dan wanita Nepal (1),” katanya.

Izham berkata, pemeriksaan mendapati golongan warga asing ini menjadikan kawasan itu sebagai tempat menjalankan urusniaga dengan memonopoli kompleks terbabit.

“Mereka ini terutama warga Myanmar dikesan menjalankan perniagaan menjual pakaian, beg, aksesori telefon bimbit dan pelbagai peralatan untuk kegunaan harian di premis berkenaan.

“Semua PATI yang ditahan dibawa ke depoh tahanan Juru dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 39(b) peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 12:34 PM