Tiga sahabat bergerak ke destinasi pertama iaitu Padang Besar. FOTO Nur Izzati Mohamad
Tiga sahabat bergerak ke destinasi pertama iaitu Padang Besar. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


MAHU berdakwah dan menyebarkan keindahan Islam.

Itu niat tiga sahabat dari Pulau Pinang yang memulakan ekspedisi kayuhan basikal sejauh 2,248 kilometer (km) menziarahi masjid di seluruh Semenanjung bermula hari ini.

Zainuddin Zakaria, 39, Mohd Alif Azri, 30, dan Amsyar Faiz Sharudin, 26, yang sejak dulu meminati sukan berbasikal dijangka menamatkan kayuhan dalam tempoh 14 hari.

Zainuddin yang mengetuai ekspedisi itu berkata, dia mempunyai cita-cita untuk ke Makkah dengan mengayuh basikal namun untuk merealisasikannya mereka menjadikan kembara dari masjid ke masjid itu sebagai permulaan.

Katanya, semua kos ekspedisi itu ditanggung mereka selain sumbangan rakan serta tajaan makanan dan minuman penduduk di setiap negeri yang akan menyambut ketibaan mereka.

“Jadi, dalam soal ini kami tidak perlu risau dan hanya perlu fokus terhadap matlamat di samping menjadi pemanas untuk ekspedisi kayuhan pada masa akan datang.

“Program ‘Tour De Mosque’ ini sangat bermanfaat yang mana kami menyantuni masyarakat sekitar masjid yang dikunjungi selain menyebarkan keindahan Islam dengan aktiviti ini,” katanya ditemui sebelum memulakan kayuhan di Masjid Timah, Permatang Pauh, Bukit Mertajam hari ini.

Destinasi pertama kayuhan itu ke Padang Besar, Perlis kemudian menuju ke Pantai Timur dan Selatan, sebelum pulang semula ke Utara.

Zainuddin berkata, mereka memilih menjadikan masjid sebagai tempat persinggahan kerana mahu menarik minat lebih ramai umat Islam terutamanya ke rumah ibadat berkenaan.

“Sumbangan orang ramai melalui pembelian baju khas program ini juga akan disalurkan ke dalam tabung masjid yang menjadi tempat persinggahan kami nanti,” katanya.

Katanya, selepas ekspedisi kayuhan itu tamat, mereka merancang meneruskan pengembaraan ke Chiang Rai, Thailand akhir tahun ini dan Borneo tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 2:53 PM