Pegawai Operasi JPJ Kelantan membuat pemeriksaan bagi mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu bas ekspress ketika pemantauan sempena Op Penguatkuasaan Khas JPJ 2020 di Terminal Bas Lembah Sireh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pegawai Operasi JPJ Kelantan membuat pemeriksaan bagi mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu bas ekspress ketika pemantauan sempena Op Penguatkuasaan Khas JPJ 2020 di Terminal Bas Lembah Sireh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Ingin mengejar bayaran komisen lebih antara punca bagi kesalahan tidak menyediakan pemandu kedua bagi bas ekspres.

Tindakan itu menjadi kesalahan apabila membabitkan perjalanan melebihi 300 kilometer dan pemanduan empat jam ke atas.

Ketua Seksyen Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Hasnor Kutik berkata, walaupun kesalahan itu jarang ditemui di negeri Pantai Timur, masih ada pengendali syarikat bas dan pemandu enggan mematuhi syarat terbabit.

"Syarikat pengendali bas ekspres wajib menyediakan pemandu kedua kerana pemanduan melebihi empat jam tanpa henti mengundang risiko iaitu menyebabkan hilang fokus akibat tiada rehat mencukupi.

"Selalunya alasan kerap diberi jika kami berjaya mengesannya adalah pemandu kedua sakit sedangkan individu itu (pemandu pertama) ingin mengejar komisen," katanya ketika sidang media dalam Op Penguatkuasaan Khas JPJ negeri Kelantan 2020, malam tadi.

Operasi bersepadu itu diadakan di Terminal Bas Lembah Sireh bersama agensi lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Kelantan dan Jabatan Kesihatan negeri.

Mohd Hasnor berkata, pemeriksaan difokuskan kepada kesalahan memandu seperti tiada buku log, tiada pemandu kedua dan lesen pengendali.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya memfokuskan kepada kesalahan teknikal membabitkan keadaan brek dan tayar bas.

"Malam ini (tadi), empat kesalahan dicatat iaitu dua membabitkan pemandu dan dua lagi kesalahan teknikal.

"JIM menahan lima wanita warga Thailand berusia antara 20 hingga 30-an yang ingin ke Kuala Lumpur atas kesalahan perlanggaran permit manakala enam kesalahan dicatatkan di bawah Jabatan Kesihatan iaitu kesalahan ketidakpatuhan kepada perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP)," katanya.

Mohd Hasnor berkata, JPJ turut menjalankan taktik penyamaran sebagai penumpang bas ekspres secara berkala dan rambang bagi mengesan kesalahan dilakukan pemandu.

Beliau berkata, lazimnya kesalahan dikesan adalah memandu menggunakan telefon bimbit, memotong di garisan berkembar dan menurunkan penumpang di kawasan tidak dibenarkan.

Katanya, sepanjang tahun lalu, 28 kes direkodkan hasil daripada taktik penyamaran dibuat manakala dua kes dikesan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 6:24 PM