Nurul Amanina Suhaini


PEKERJA syarikat mengalihkan barangan kilang, Aslan Mohamed Yasin, 41, yang maut dihempap mesin seberat lebih 20 tan di kilang di Jalan Prima 3, Kawasan Perindustrian Tebrau 4, Johor Bahru, petang semalam, cuba menyelamatkan mesin itu daripada terjatuh hingga mengorbankan nyawanya.

Rakan sekerja yang juga saksi kejadian, Ikhwan Ishak, 33, berkata, dia tergamam melihat Aslan yang ketika itu bertugas dihempap mesin besar itu.

“Syarikat kami bekerja sejak lima tahun lalu sebelum ini beroperasi di Plentong namun berpindah ke Desa Cemerlang, Johor Bahru.

“Semalam seperti rutin harian kami berempat bergerak ke sebuah kilang membuat mesin, yang mana saya menaiki sebuah lori bersama adik arwah manakala arwah menaiki kereta bersama pekerja warga Bangladesh.

“Semalam kami bekerja seperti biasa dan ketika kejadian saya berada di tandas. Apabila kembali ke bangunan saya melihat mesin tumbang dan menghempap arwah dalam keadaan separuh berdiri,” katanya yang juga sepupu mangsa.

Menurutnya, mungkin ketika itu besi di belakang mesin itu longgar menyebabkan arwah cuba meletak ‘roller’ di bahagian bawah bertujuan menyelamatkan mesin berkenaan daripada terhempas.

Katanya, apabila sedar mesin seakan-akan tumbang arwah cuba bangun untuk menyelamatkan diri namun tidak sempat dan terhempap di dadanya.

Ikhwan berkata, arwah yang menghidap darah tinggi sejak kira-kira tiga tahun lalu disifatkan sebagai seorang yang pendiam dan tidak berkira dalam soal kerja.

“Kami berempat ditugaskan untuk memindahkan mesin itu, arwah di belakang, warga Bangladesh dan adiknya di depan manakala saya di tengah.

“Kami nampak dia terhempap tetapi tidak boleh berbuat apa-apa. Panggil nama pun senyap, kami tidak nampak sebarang pendarahan luar.

“Sejurus selepas itu, kami bergegas meminta bantuan sebelum ambulans tiba dan maklumkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, ia satu kehilangan besar baginya apatah lagi arwah adalah sepupunya dan rapat sejak kecil.

Berita berkaitan

Maut dihempap mesin lebih 20 tan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 12:52 PM