ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa dalam kejadian letupan di sebuah kilang kejuruteraan elektrik di Kawasan Perindustrian Kundang, hari ini. FOTO Bernama
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa dalam kejadian letupan di sebuah kilang kejuruteraan elektrik di Kawasan Perindustrian Kundang, hari ini. FOTO Bernama
Hasbi Sidek dan Nurul Hidayah Bahaudin


KETERUJAAN pemilik kilang kejuruteraan elektrik di Kawasan Perindustrian Kundang, Rawang mahu mencuba mesin bekalan kuasa yang baharu dihasilkan bertukar tragedi apabila dia bersama dua pekerja termasuk seorang lelaki warga Bangladesh maut akibat letupan, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi, ketiga-tiga mangsa berusia 50-an disahkan maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi pekerja kilang terbabit cedera akibat letupan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, ketika kejadian semua mangsa dikatakan sedang melakukan ujian di peringkat akhir terhadap mesin terbabit.

“Difahamkan, mesin itu pernah dicuba beberapa kali sebelum ini dan pemeriksaan dilakukan adalah ‘ujian terakhir’.

“Bagaimanapun, mesin itu meletup sebaik dipasang pada soket menyebabkan semua mangsa tercampak akibat letupan berkenaan, namun tidak membabitkan kebakaran.

“Letupan itu turut mengakibatkan bahagian dalam dan bumbung kilang berkenaan yang sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu rosak teruk akibat serpihan besi berterbangan sejauh 100 meter,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Samsor berkata, berikutan kejadian pihaknya menutup kilang terbabit bagi tujuan pemeriksaan.

“Kilang ini ditutup untuk pemeriksaan lanjut termasuk memastikan sama ada bangunan kilang terbabit selamat atau sebaliknya.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat, manakala seorang lelaki warga Bangladesh yang cedera juga dihantar ke hospital sama bagi rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang Yazli Yahya berkata, seramai lapan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian.

“Letupan itu menyebabkan serpihan besi berterbangan dan terkena mangsa.

“Kes ini diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Seorang pekerja kilang bersebelahan yang mahu dikenali sebagai Azimah, 30-an, berkata dia tidak menyangka bunyi bising yang didengari adalah letupan daripada mesin berkenaan.

“Saya ada dengar bunyi amat kuat seakan besi jatuh, namun hanya menyangka bunyi itu datang daripada kanak-kanak yang melempar besi.

“Sebaik melihat ramai orang berkumpul di depan kilang itu, baru saya sedar bahawa bunyi didengari adalah letupan mesin itu,” katanya.

Berita berkaitan

Tiga maut, satu cedera dihempap besi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 7:36 PM