Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: "Arwah berubah jadi pendiam dan lebih banyak termenung. Mungkin itulah petunjuk dia akan meninggalkan kami selama-lamanya," kata Rashidah Ibrahim, 54, mengenai rakan baiknya Nor Hayati Abdullah.

Nor Hayati, 42, adalah seorang daripada dua mangsa maut apabila treler melanggar kerangka besi pada binaan jejantas pejalan kaki menyebabkan rusuk keluli perancah Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) terjatuh di laluan Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) dan menghempap van dinaiki lima mangsa terbabit, semalam.

Rashidah berkawan rapat dengan arwah sejak 10 tahun lalu selain bekerja bersama di sebuah kilang elektronik di Subang Mewah, Selangor.

Menurutnya, rakan sekerja lain turut mengakui perasan dengan perubahan arwah yang sebelum ini ceria dan suka mengusik.

"Kali terakhir saya berjumpa arwah pada Selasa malam semasa bekerja. Memang arwah pada hari itu lebih banyak menyendiri dan diam.

"Saya rasa pelik juga kerana kebiasaannya dia banyak bercakap dan akan mengusik sesiapa saja yang bekerja dengannya," katanya ketika ditemui di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di sini, hari ini.

Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa lima rakan sekerjanya lebih-lebih lagi apabila mengetahui arwah terkorban dalam kemalangan itu.

Sementara itu, kakak arwah Maslinawati, 43, berkata, jenazah adiknya akan dibawa ke Sungai Besar, Selangor, untuk pengebumian sebaik selesai urusan bedah siasat.

"Buat masa ini, kami masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 sebelum proses bedah siasat boleh dilakukan," katanya.

Dalam kejadian petang semalam, sebuah treler membawa lebih muatan melanggar perancah besi pembinaan SUKE, menyebabkan berlaku runtuhan dan menghempap sebuah van pekerja.

MASLIANAWATI  (tengah) dan rakan sekerja mangsa kelihatan suasana sugul di bilik Jenazah, Hospital Canselar Tuanku Muhriz (HCTM). FOTO Aswadi Alias.
MASLIANAWATI (tengah) dan rakan sekerja mangsa kelihatan suasana sugul di bilik Jenazah, Hospital Canselar Tuanku Muhriz (HCTM). FOTO Aswadi Alias.

Dua wanita pekerja kilang maut manakala dua lagi rakan mereka bersama seorang lelaki yang juga pemandu van itu cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya dalam kenyataan hari ini mengesahkan pemandu treler itu positif dadah.

Berita berkaitan

'Jejambat runtuh: Pemandu treler positif dadah [METROTV]

'Saya lihat wajah adik seperti tidur' [METROTV]

'Dua wanita maut, tiga selamat tragedi runtuhan jejambat'

'Dua mangsa runtuhan stabil, seorang mangsa angkat tangan'

'Mangsa pertama dibawa keluar daripada runtuhan jejambat'

'Lori terlanggar jejambat bukan milik SUKE'

'Jejambat runtuh dilanggar lori bawa jengkaut'

'Lima terperangkap dalam van kilang dihempap runtuhan'

'Van kilang dihempap jejambat lebuh raya runtuh'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 11:44 AM