LAPORAN Portal Harian Metro
LAPORAN Portal Harian Metro
Mohd Amin Jalil


Tampin: "Tiada yang pelik, cuma petang semalam arwah secara tiba-tiba meminta kakak dia buat laksa walaupun sehari sebelum itu kami sekeluarga menjamu selera dengan laksa.

"Sikapnya itu membuatkan ramai ahli keluarga tertanya," kata Lokman Abdul Majid, 50, abang kepada Nur Zalehan Balkish Abdul Majid, 27, yang meninggal dunia selepas kereta dipandunya dihempap pokok getah, pagi tadi.

Lokman berkata, adik bongsunya itu jarang bersikap demikian kerana dia tidak pernah meminta makanan berulang.

Malah, kakaknya, Siti Zaleha, 30, juga mengakui berasa pelik dengan sikap Nur Zalehan Balkish yang secara tiba-tiba teringin untuk makan laksa.

"Kakaknya sempat bergurau dengan arwah dan menyatakan arwah seolah-olah mengidam makan laksa, sedang baru saja keluarga menjamu selera dengan laksa.

"Kami sekeluarga tidak syak apa-apa, bagaimanapun permintaan arwah itu dipenuhi Siti Zaleha, tapi tak sangka sikap peliknya itu tanda dia akan meninggalkan kami selamanya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutya, keluarganya amat terasa kehilangan arwah kerana beliau seorang anak yang manja dan semua ahli keluarga senang dengan sikapnya.

Katanya, menjadi kebiasaannya arwah akan keluar dari rumah ke tempat kerja jam 7.30 pagi kerana perjalanan akan mengambil masa sekitar 40 minit.

"Saya difahamkan tiada apa-apa yang menganggu pergerakannya pagi tadi dan lazimnya beliau akan mendapatkan keizinan dari ibu sebelum keluar.

"Kami sekeluarga terkejut apabila mendapat tahu kereta dipandunya dihempap pokok getah sehingga menyebabkan kehilangannya," katanya yang memaklumkan Nur Zalehan Balkish sudah bekerja dengan Ar Rahnu selama lima tahun.

Lokman berkata, jenazah adiknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sekolah Tinggi Islam As-Sofa Rembau, dekat sini, jam 5 petang tadi.

Berita berkaitan

Wanita maut kereta dihempap pokok getah tumbang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 8:06 PM