NOOR Aziah
NOOR Aziah
Nor Akmar Samudin


“KEMATIAN adalah perkara yang pasti kepada semua manusia, cuma cara kematian itu yang berbeza.

“Istimewanya banduan akhir ini, mereka sudah menerima hukuman atas kesalahan yang mereka lakukan dan Allah SWT sudah pilih tarikh kematian untuk mereka,” kata pakar motivasi Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

Menurutnya, banduan akhir sudah tahu tarikh kematian mereka dan walaupun secara zahirnya sedih melihat mereka yang menunggu hukuman mati tetapi hakikatnya mereka ada masa untuk bertaubat, berkelakuan baik dan menikmati sisa kehidupan walaupun berada dalam penjara.

“Mereka ada peluang beribadah dalam suasana yang lebih fokus dan mendalami agama meskipun mereka tidak berada di luar dan ia wajar atas kesalahan yang mereka lakukan.

“Berbeza dengan orang lain, ada yang meninggal dunia dalam keadaan tiba-tiba seperti kemalangan jalan raya yang amal ibadahnya entah ke mana tanpa sempat memanfaatkan kehidupan. Cara kematian itu lebih malang lagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai banduan akhir Penjara Sungai Buloh yang diraikan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam Majlis Iftar Sahabat Tirai Besi di penjara terbabit, kelmarin.

Rata-rata mereka tidak menduga bukan sekadar dijamu juadah istimewa Nasi Arab untuk berbuka puasa, malah buat kali pertama pengurusan penjara tidak menggari tangan mereka sebaik keluar dari sel tahanan.

Tengku Ismadi berkata, apa yang dilakukan mufti itu amat wajar kerana kehadiran beliau dapat menggembirakan banduan akhir dan mereka rasa dihargai.

“Pegawai penjara pun wajar melakukan perkara serupa dari semasa ke semasa, memberi mereka rasa nikmat hidup sebelum kehidupan mereka berakhir di tali gantung. Ada banyak perkara baik dan hikmah yang tersembunyi.

“Kehidupan kita bukan hanya di dunia ini saja, ada lagi kehidupan lain selepas kematian,” katanya.

Menurutnya, keluarga banduan akhir juga perlu mengambil iktibar daripada perkara ini dan tidak perlu malu sekiranya ada ahli keluarga yang menerima hukuman di penjara atas kesalahan lampau.

“Raikan mereka dengan sebaik-baiknya sebelum mereka ‘pergi’, bahkan mereka layak didoakan agar mendapat hidayah dan mati dalam keampunan, rahmat serta belas kasihan Allah.

“Keluarga tidak perlu rasa malu sehingga meminggirkan mereka kerana apa saja boleh berlaku kepada sesiapa yang dalam keadaan tertekan, hilang kawalan diri dan tidak berfikir panjang.

“Kebetulan ia berlaku dalam keluarga kita, maka rai dan gembirakan hati mereka selagi ada hayat mereka,” katanya.

Pakar perundangan dan kekeluargaan, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, setiap bulan beliau dan rakannya menjadikan lawatan ke Penjara Wanita Kajang satu kemestian dengan menyantuni penghuni di sana bagi memberi mereka semangat dan motivasi.

“Mereka sudah pun menjalani hukuman di dunia dan kita mesti sentiasa mendampingi mereka agar kembali ke jalan yang benar terutama pada Ramadan ini, pasti mereka berasa rindu berbuka dan berhari raya bersama keluarga.

“Kepada banduan yang menunggu hukuman gantung, siapa tahu mereka mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong dan hanya dihukum penjara yang kemudian dibebaskan.

“Jadi kita kena beri mereka semangat, menginsafi setiap kesalahan dan menggunakan setiap masa yang ada dengan sebaik-baiknya untuk beramal kepada Allah.

“Kepada kaum keluarga, sambutlah hari raya dengan mereka dan maafkan mereka kerana semua orang melakukan kesilapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 6:15 AM