ENAM beradik bertemu bapa yang menjalani hukuman penjara dalam satu majlis khas di Penjara Sungai Udang di Melaka. FOTO Ihsan Jabatan Penjara
ENAM beradik bertemu bapa yang menjalani hukuman penjara dalam satu majlis khas di Penjara Sungai Udang di Melaka. FOTO Ihsan Jabatan Penjara
Fairuz Zaidan


KERINDUAN enam beradik kematian ibu untuk bertemu bapa yang menjalani hukuman penjara, terubat apabila dipertemukan dalam satu majlis khas di Penjara Sungai Udang di Melaka, hari ini.

Pertemuan selama 45 minit bermula 11.30 pagi itu pantas mengundang deraian air mata serta emosi apabila Mohd Fauzi (bukan nama sebenar), 33, dapat mendakap kesemua enam anaknya berusia 12 tahun hingga 19 bulan buat pertama kali sejak mereka berpisah pada 23 Januari lalu kerana menjalani hukuman penjara akibat kes dadah.

Timbalan Penguasa Penjara, Jabatan Penjara Sungai Udang, Mohd Sazeli Mohd Noor berkata, pihaknya mengambil inisiatif itu atas keprihatinan terhadap nasib enam beradik itu yang baru kematian ibu selepas motosikal ditunggang bertembung dengan haiwan di hadapan Ladang Sungai Baru, Kampung Simen, Rembau, Negeri Sembilan, pada April lalu.

Beliau berkata, atas dasar keprihatinan terhadap nasib dialami enam beradik serta kebajikan banduan, jabatan penjara mengaturkan perjumpaan itu bagi membolehkan pasangan keluarga itu menghabiskan masa selama 45 minit.

“Program ini dapat dibuat selepas mengambil kira kesalahan kali pertama banduan yang menjalani hukuman penjara setahun kerana kesalahan dadah, selain mempunyai rekod berkelakuan baik.

“Jabatan penjara juga dalam proses untuk memberi pelepasan parol di luar penjara terhadap banduan ini yang mempunyai baki hukuman penjara dua bulan.

“Ini bermakna, selepas Aidilfitri ini kita menjangkakan banduan ini dapat menjalani pelepasan parol seterusnya dapat bersama keluarga,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Kesemua enam anak Mohd Fauzi (bukan nama sebenar) bergambar kenangan bersama pegawai dan anggota Jabatan Penjara. FOTO Ihsan Jabatan Penjara
Kesemua enam anak Mohd Fauzi (bukan nama sebenar) bergambar kenangan bersama pegawai dan anggota Jabatan Penjara. FOTO Ihsan Jabatan Penjara

Mohd Sazeli berkata, selepas menemukan anak bersama bapa mereka di dalam penjara, Jabatan Penjara Sungai Udang turut membawa kesemua enam beradik itu ke Mydin Mall Ayer Keroh, untuk membeli persalinan baju raya bagi meraikan sambutan Aidilfitri.

“Kita mengambil inisiatif sendiri mengambil enam beradik yang ditemani ibu saudara di Rembau untuk dipertemukan dengan bapa mereka di penjara di Sungai Udang.

“Di samping itu, kita juga membawa kesemua mereka berusia 12 tahun, 10 tahun, 9 tahun, 7 tahun, 4 tahun, dan 19 bulan untuk membeli pakaian raya, selain Jabatan Penjara sendiri turut menyampaikan wang tunai perbelanjaan hari raya sebanyak RM500,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Sazeli menyeru individu atau penjenayah supaya tidak mengulangi kesilapan dan kesalahan lampau kerana sebarang perlakuan jenayah bukan hanya memberi kesan terhadap individu tetapi kepada keluarga serta masyarakat.

NSTP pada 25 April lalu melaporkan, enam beradik tidak lagi berpeluang meraikan Ramadan dan Syawal bersama ibu tersayang selepas wanita itu meninggal dunia dalam kemalangan motosikal di hadapan Ladang Sungai Baru, Kampung Simen, Rembau, Negeri Sembilan.

Lebih menyedihkan apabila Allahyarhamah yang berusia 35 tahun menanggung dan menguruskan kehidupan enam anaknya selepas suaminya menjalani hukuman penjara.

Rutin harian arwah juga sebelum itu bangun seawal jam 3 pagi untuk menjual nasi lemak, selain bekerja sebagai pekerja pembersihan untuk menampung kehidupan semua anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 9:21 PM