MONYET yang meniti kabel voltan tinggi menjejaskan bekalan elektrik. (Gambar kanan) Bangkai monyet yang mati akibat renjatan elektrik ditemui di bawah kabel voltan tinggi. FOTO ihsan SEB
MONYET yang meniti kabel voltan tinggi menjejaskan bekalan elektrik. (Gambar kanan) Bangkai monyet yang mati akibat renjatan elektrik ditemui di bawah kabel voltan tinggi. FOTO ihsan SEB
Mohd Roji Kawi


GANGGUAN bekalan elektrik kerap berlaku di Matu dan Daro di bahagian Mukah, dikenal pasti berpunca daripada sekumpulan monyet yang meniti di atas kabel tenaga voltan tinggi di kawasan berkenaan.

Selain itu, panahan kilat dan kabel terkena pokok yang ditebang juga antara faktor dikenal pasti mengganggu bekalan elektrik di daerah berkenaan.

Pengurus Wilayah Tengah Sarawak Energy Berhad (SEB) Nazry Abdul Latip berkata, gangguan monyet didapati menyebabkan bekalan terjejas yang dilaporkan berlaku ketika sambutan perayaan Gawai Dayak dan berlarutan hingga hari pertama Aidilfitri, baru-baru ini.

Katanya, ketika itu bekalan elektrik di kawasan berkenaan terputus beberapa kali sehingga menimbulkan keresahan penduduk.

“Hasil siasatan dijalankan, ia berlaku akibat kehadiran monyet liar pada kabel tenaga bervoltan tinggi.

“Monyet yang menceroboh kabel itu bersentuhan dengan konduktor tenaga sehingga menyebabkan bekalan tenaga tidak stabil,” katanya.

Beliau berkata, kawasan terjejas akibat gangguan monyet itu adalah Kuala Matu, Kampung Pegau, Kampung Halud, Kampung Nangar dan Kampung Budok.

“Pasukan teknikal kami dapat memulihkan empat gangguan bekalan itu dengan cepat hasil penggunaan pencawang yang lebih moden dengan keupayaan tinggi.

“Pencawang baru di Daro beroperasi pada 28 Mei lalu meningkatkan kebolehpercayaan bekalan dan pemulihan tenaga bagi Matu dan Daro lebih cepat apabila berlaku gangguan,” katanya.

Nazry berkata, penggunaan Sub Stesen Daro itu memendekkan garisan tenaga Matu kepada 32 kilometer (km) berbanding sebelum ini sepanjang 97 km dari Sub Stesen Petian.

“Pencawang baru di Daro itu juga dilengkapi kemudahan penukaran tenaga jarak jauh untuk mempercepatkan pemulihan bekalan apabila berlaku gangguan kuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 11:14 AM