GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
M Hifzuddin Ikhsan


Kuching: Projek pembinaan Jambatan Batang Igan, Matu, bagi menghubungkan rangkaian jalan pesisir pantai Sarawak dijangka siap menjelang 2024.

Kementerian Kerja Raya dalam kenyataan berkata, projek bernilai RM285 juta itu kini dilaksanakan sepenuhnya kerajaan negeri Sarawak selepas ia dibatalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan tidak pernah menangguhkan projek berkenaan, namun tidak diteruskan kerajaan PH apabila berlaku perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Projek Jambatan Batang Igan diluluskan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE) pada 23 Februari 2016, bagaimanapun pemindahan tapak melewatkan pelaksanaan projek yang sepatutnya bermula pada 2017 kepada 2018.

"Pejabat Daerah Matu membangkitkan permintaan penduduk yang mahu tapak dipindahkan dari tapak asal ke tapak berhampiran jeti feri Kampung Igan ," katanya.

Isu kelewatan pembinaan Jambatan Igan dibangkitkan pembangkang pada kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) sehingga timbul dakwaan ia sengaja dilewatkan kerajaan negeri.

Menurut kenyataan itu, panggilan tender projek Jambatan Igan dibuat pada September 2017 dan tender ditutup pada Disember 2017 dengan Kementerian Kewangan memberi kelulusan kepada syarikat kontraktor pada April 2018.

"Malangnya projek berkenaan diputuskan untuk ditangguhkan oleh Kementerian Kewangan di bawah Kerajaan PH pada 3 Ogos 2018.

"Pada awal 2019, Kerajaan PH memutuskan untuk tidak meneruskan projek pembinaan tiga jambatan iaitu Jambatan Batang Igan, Batang Lupar dan Rambungan," katanya.

Berikutan itu, tiga projek berkenaan kemudian diambil alih pelaksanaannya oleh kerajaan negeri demi memastikan rakyat pesisir Sarawak tidak terpinggir daripada arus perdana pembangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 12:34 PM