AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Bernama
AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Kuching:Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menempuh perjalanan sejauh 2,154 kilometer (km) pada jelajah 'Kembara Kenali Borneo' bulan depan.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual turut menyertai jelajah melalui Lebuh Raya Pan Borneo yang akan bermula dari Sabah pada 3 September.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), sumber Istana Negara memaklumkan jelajah itu akan berlangsung selama 11 hari.

Kembara Kenali Borneo itu akan bermula dari Tawau, Sabah dan dijadual berakhir di perkampungan terakhir sebelah barat Borneo, Telok Melano di dalam daerah Lundu, Sarawak.

Konvoi baginda akan menjelajah Sabah mulai 3 September hingga 3 September.

Selepas itu, perjalanan diteruskan di Sarawak melalui Lebuh Raya Pan Borneo dan jalan pesisir bermula 7 hingga 13 September.

Tujuan utama Al-Sultan Abdullah menyertai Kembara Kenali Borneo adalah untuk bertemu rakyat di dua wilayah di Borneo itu.

Sumber Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berkata, baginda akan turut melalui jalan pesisir kerana ingin bertemu rakyat yang tinggal di penempatan yang jauh dari Lebuh Raya Pan Borneo.

"Bagi jelajah di Sarawak, beberapa hentian ditetapkan di kawasan pesisir yang tidak dilalui Lebuh Raya Pan Borneo.

"Sebab itu, ada beberapa tempat, baginda dijadual akan melalui jalan pesisir," katanya.

Jalan pesisir adalah rangkaian jalan raya yang melalui kawasan berdekatan pantai bermula dari Lundu, Samarahan, Asajaya, Sebangan, Sebuyau, Maludam, Beladin, Kabong, Tanjung Manis, Matu, Daro, Igan, Mukah, Balingian, Bintulu hingga Miri.

Lebuhraya Pan Borneo yang dibina sejak 2015 kini siap 97 peratus pula melalui kawasan tengah Sarawak bermula dari Telok Melano, Lundu, Kuching, Siburan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Selangau, Tatau, Bintulu dan Miri.

Untuk ke Limbang dan Lawas pula, pengguna perlu melalui Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 6:10 PM