ANGGOTA polis trafik menjalankan pemeriksaan terhadap pelajar sekolah yang menunggang motosikal di SMK Bandar Kinrara 4.
ANGGOTA polis trafik menjalankan pemeriksaan terhadap pelajar sekolah yang menunggang motosikal di SMK Bandar Kinrara 4.

Serdang: Berkeliaran dengan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar dan tidak memiliki lesen.

Itu antara kegiatan kumpulan pelajar ‘koboi’ yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya hingga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

Tindak-tanduk kumpulan pelajar sekolah terbabit bagaimanapun diambil tindakan oleh polis Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang yang mengadakan operasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak minggu lalu.

Dalam operasi ‘Op Didik’ itu, seramai 23 pelajar sekolah berusia antara 14 hingga 17 tahun ditahan membabitkan tiga sekolah menengah di daerah ini.

Operasi yang bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang itu dilakukan terhadap pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kinrara 4, SMK Seri Serdang dan SMK Desa Melinum.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dengan kerjasama JPJ.

“Dalam operasi berkenaan, kami menahan 23 pelajar sekolah menengah yang menunggang motosikal di tiga lokasi berkenaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Antara kesalahan yang dilakukan mereka adalah tiada lesen memandu, tidak memakai topi keledar, tidak mempamerkan lesen L dan membonceng penumpang bagi yang memiliki lesen L,” katanya.

Megat berkata, dalam operasi berkenaan, JPJ turut memberikan taklimat kepada pelajar yang ditahan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.

“Perlaksanaan operasi itu bertujuan untuk mendidik remaja khususnya pelajar sekolah menengah supaya mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan memandangkan sebahagian besar daripada golongan itu menaiki motosikal ke sekolah, “ katanya.

“Justeru dalam operasi ini, kami memberi tumpuan kepada pelajar sekolah menengah yang menaiki motosikal ke sekolah bagi memastikan mereka mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 5:11 AM