ANGGOTA Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba.
Mohd Roji Kawi


REMAJA lelaki berusia 19 tahun maut selepas kereta dinaikinya terbabas dan terbalik di Jalan Sematan Baru, Lundu, 6.20 pagi tadi.

Mangsa, David Dillon Anton berasal dari Kampung Bungai Raya, Simunjan, disahkan maut di lokasi kemalangan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 6.25 pagi.

Beliau berkata, tujuh anggota termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Lundu, dikerahkan ke lokasi.

“Mangsa tersepit di tempat duduk penumpang belakang Proton Saga berkenaan, kami menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.

“Anggota paramedik Hospital Lundu, berada di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki lima lelaki itu tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di tepi jalan.

“Kami difahamkan tiga mangsa lain tercampak keluar dari kereta itu dan dilaporkan mengalami kecederaan parah. Seorang lagi berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Tiga mangsa parah adalah Nickolin Jeffry, 25, dari Kampung Batu Mumong Atas, Simunjan, Danielle Divedrom, 22, dari Kampung Pueh, Sematan dan Sellestin Carl Stanlly, 16.

Seorang lagi mangsa yang cedera ringan ialah Alraxson Menghuan, berasal dari

Kampung Pueh, Sematan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 4:08 PM