Gambar hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Gambar hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Larangan makan di premis (dine-in) di kawasan zon selatan Sarawak yang berkuat kuasa sejak 22 Ogos lalu dilanjutkan sehingga 5 September depan.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, keputusan itu dibuat berikutan bilangan kes Covid-19 di lapan daerah iaitu Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu masih berada pada paras membimbangkan.

Selain larangan dine in, prosedur operasi standard (SOP) di tujuh daerah itu turut menghadkan tempoh operasi perniagaan dari 5 pagi hingga 8 malam.

"Individu atau kumpulan juga tidak dibenarkan berada di kawasan awam selepas 10 malam tanpa alasan munasabah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu katanya, pergerakan rentas daerah dari zon selatan ke daerah lain perlu mendapatkan permit polis dan keputusan negatif ujian rt-PCR atau RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Zon selatan Sarawak menjadi penyumbang utama kes jangkitan baharu Covid-19 di negeri ini sejak beberapa minggu lalu.

Hari ini sahaja, Kuching menyumbang 906 daripada 2,224 kes baharu di Sarawak.

Daerah lain di zon selatan turut merekod kes membimbangkan dengan Samarahan sebanyak 210 kes, Serian (158), Simunjan (96), Bau (69), Lundu (50), Asajaya (38) dan Tebedu (28).

Bagi 32 lagi daerah di negeri ini, semua aktiviti dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 7:23 PM