FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) dengan membenarkan semula 'dine-in' di premis makanan di Zon Selatan negeri ini, mulai Isnin.

Jurucakap Sekretariat JPBN Sarawak berkata, kebenaran itu diberikan dengan syarat operator, pekerja dan pelanggan sudah menerima dua dos lengkap vaksinasi Covid-19.

Beliau berkata, pemilik premis perniagaan juga diwajibkan untuk memastikan ventilasi dan pengudaraan premis adalah mengikut piawaian yang ditetapkan oleh JPBN Sarawak.

"Ketika ini, lapan daerah di Zon Selatan masih berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala daerah-daerah lain sudah berada di Fasa 3.

"Lapan daerah terbabit ialah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Larangan 'dine-in' di Zon Selatan dikuatkuasakan mulai 22 Ogos sehingga 5 September lalu kemudian dilanjutkan sehingga 19 September.

Selain itu, tempoh operasi perniagaan lain di Zon Selatan juga dibenarkan beroperasi mulai 5 pagi sehingga 10 malam.

"Individu atau kumpulan individu adalah tidak berada di kawasan awam

selepas jam 12 tengah malam tanpa alasan yang munasabah," katanya.

Sementara itu, mulai esok ujian RT-PCR atau RTK-Antigen tidak diperlukan lagi bagi pergerakan merentas daerah namun kelulusan atau permit polis masih diperlukan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 6:47 PM