ZIYAD ketika ditemui media selepas pulang dari Kejohanan Olahraga Para Dunia Kobe 2024. -FOTO Bernama
ZIYAD ketika ditemui media selepas pulang dari Kejohanan Olahraga Para Dunia Kobe 2024. -FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli tidak mahu meletakkan harapan tinggi pada penampilannya di temasya Paralimpik Paris 2024 yang dijadual berlangsung hujung Ogos ini.

Ziyad berkata, dia meletakkan sasaran hanya untuk mengatasi catatan 17.43 meter (m) dilakukannya di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun baru-baru ini sekali gus cuba membantu kontinjen meraih kilauan pingat diharapkan.

Pemenang pingat emas dalam acara lontar peluru F20 (kecatatan intelektual) Paralimpik Rio 2016 itu berkata, ketika ini dia memberi tumpuan memperkemaskan lagi teknik balingan selain cuba untuk mengurangkan rasa gemuruh ketika perlawanan.

"Banyak lagi yang perlu diperbaiki. Sebagai atlet, kena ada sasaran dan hari-hari kena ada sasaran dan ada perkara yang perlu diperbetulkan. Dalam latihan lain, dalam perlawanan lain (perasaan), jadi itu yang saya perlu biasakan diri dan diperbaiki lagi.

"Dalam perlawanan perasaan gemuruh itu lain daripada latihan biasa, jadi saya kena belajar untuk perbaikinya... itu yang saya rasa masih tak dapat buat terbaik lagi, untuk kurangkan rasa gemuruh itu," katanya.

Pada penyertaan di Tokyo 2020, Ziyad diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa dirinya lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi di Tokyo 2020 menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

"Saya hanya boleh janjikan untuk buat yang terbaik, saya tak nak terlampau yakin. Saya janjikan buat yang terbaik, emas perak gangsa tak tahu lagi tetapi saya janjikan prestasi terbaik di Paris nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 1:32 PM