AARON-WOOI YIK kecundang di pusingan kedua Terbuka Indonesia di tangan lawan ke-25 dunia dari Taiwan. -FOTO NSTP
AARON-WOOI YIK kecundang di pusingan kedua Terbuka Indonesia di tangan lawan ke-25 dunia dari Taiwan. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria masih lagi menaruh harapan tinggi kepada pemain badminton negara terutamanya beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mencipta keputusan menakjubkan pada penampilan di temasya Olimpik Paris 2024, Julai ini.

Walaupun beregu utama lelaki itu berdepan dengan prestasi 'yo-yo' sejak beberapa temasya dengan yang terbaharu, kecundang di pusingan kedua Terbuka Indonesia di tangan lawan ke-25 dunia dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 16-21, 14-21 namun mereka mampu bangkit pada temasya itu.

Norza berkata, BAM tidak mahu menekan butang panik dan percaya barisan kejurulatihan termasuk pemain terbabit akan berubah untuk memastikan mampu mencipta keputusan positif kelak.

"Bagi kita proses ini, memang ada turun naiknya. Kalau kita kata OK di Terbuka Singapura ataupun di Terbuka Indonesia dan katakan kita menang, adakah kita nak mereka memuncak di kejohanan berkenaan?

"Sudah tentunya kita nak mereka memuncak di Paris 2024 nanti. Seperti saya katakan, berikan sokongan tak berbelah bahagi. Katakan mereka hadapi saat sukar dan mereka memerlukan kita, kita akan bersama mereka, buka kata 'kamu tak ada harapan', tak boleh begitu.

"Bagi kita, mereka yang layak ini, mereka mempunyai harapan tinggi dan ada kalangan mereka sudah pun menjadi Olimpian dan tahu apa yang mereka akan hadapi nanti. Jangan kita menidakkan kebolehan mereka, sudah tentunya ada naik turun... yang paling penting kita mahu mereka mencapai prestasi yang paling tinggi di Paris 2024.

"Mereka sudah layak secara merit dan itu sangat penting. Mereka ini berada dalam kelompok 10 terbaik, bukan 40. Terutama Aaron-Wooi Yik, saya fikir sokongan kita harus berikan sebaiknya, mereka dalam kelompok lima terbaik dunia.

"Mungkin ada ketika mereka dalam keadaan sukar, tetapi saya yakin dan percaya kita harus bagi sokongan padu kepada mereka untuk cari jalan supaya sampai ke prestasi puncak di Paris nanti. Saya yakin mereka akan 'meletup'," katanya.

Mengikut rekod, Aaron-Wooi Yik sebelum ini pernah meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menewaskan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 1:23 PM