AIDI Ismail. FOTO ihsan PDRM
AIDI Ismail. FOTO ihsan PDRM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum merancang untuk menambah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) walaupun jumlah daerah pentadbiran kerajaan Sarawak semakin bertambah.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya akan terus mengoperasikan 28 IPD sedia ada bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di 45 daerah pentadbiran kerajaan Sarawak.

Bagaimanapun menurutnya, kertas kerja bagi menaik taraf IPD sedia ada sudah dihantar kepada pengurusan tertinggi Bukit Aman.

"Setakat ini memang tiada rancangan (menambah IPD) walaupun jumlah daerah di Sarawak semakin bertambah.

"Kami hanya akan membuat penambahbaikan, menaik taraf IPD sedia ada," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketika ini Sarawak mempunyai 28 IPD iaitu Kuching, Marudi, Daro, Lawas, Mukah, Simunjan, Bau, Julau, Limbang, Padawan, Song, Belaga, Kanowit, Lubok Antu, Sri Aman, Saratok, Betong, Kapit, Sarikei, Lundu, Tatau, Bintulu, Kota Samarahan, Meradong, Serian, Dalat, Miri dan Sibu.

Tiga daripada IPD di Sarawak diketuai pegawai berpangkat Asisten Komisioner, empat diketuai Superintendan manakala selebihnya diketuai pegawai berpangkat Deputi Superintendan.

Daerah pentadbiran kerajaan Sarawak pula kini berjumlah 45 dengan lima daripadanya baru diisytiharkan sebagai daerah sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), Disember lalu.

Lima daerah baharu itu ialah Siburan di bahagian Serian, Gedong dan Sebuyau di Samarahan manakala Lingga dan Pantu di Sri Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 12:18 PM