Kuching, Sarawak.
Kuching, Sarawak.
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Pelaksanaan fasa tiga kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di zon selatan Sarawak ditangguhkan sehingga penularan kes Covid-19 menunjukkan trend penurunan yang lebih memuaskan.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, penangguhan itu membabitkan daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Asajaya, Serian dan Tebedu.

"Penangguhan pelaksanaan Fasa 3 PPN di zon selatan itu dibuat bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, bagi zon lain di negeri ini meliputi Bahagian Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang, fasa tiga PPN akan dilaksanakan.

Menurutnya, ia akan bermula sebaik saja garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang dicadangkan selepas mendapat nasihat pakar perubatan dipersetujui oleh JPBN Sarawak.

"Justeru, SOP sedia ada (fasa dua PPN) masih berkuat kuasa," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, mengumumkan Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan beralih ke fasa tiga kawalan pergerakan dalam PPN berkuat kuasa esok.

Keputusan itu dibuat hasil penelitian perkembangan semasa PPN yang dibentangkan Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dalam mesyuarat semalam.

Justeru, kerajaan Sarawak mengucapkan penghargaan kepada Muhyiddin kerana yakin dengan usaha yang diambil selama ini sehingga memberi pengiktirafan kepada Sarawak untuk beralih ke fasa tiga PPN.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:35 PM