Keadaan pacuan empat roda dipandu mangsa maut selepas dihempap kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Semarak. Foto Ihsan Pembaca
Keadaan pacuan empat roda dipandu mangsa maut selepas dihempap kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Semarak. Foto Ihsan Pembaca
Zatul Iffah Zolkiply


PENGURUS projek maut selepas pacuan empat roda Nissan Frontier dipandunya dihempap kenderaan lain dalam kemalangan di lampu isyarat Jalan Semarak di Kuala Nerus, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, Low Kok Kheong, 47, dari Perak maut di tempat kejadian kerana parah pada anggota badan.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Suzuki Swift dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dalam perjalanan dari arah Jalan Lapangan Terbang menghala ke Bukit Tunggal.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah motosikal yang datang dari lorong kanan dikatakan memasuki laluan pemandu Suzuki Swift secara mengejut.

“Pemandu Suzuki Swift cuba mengelaknya dan menekan brek tetapi dalam keadaan panik itu dia tertekan pedal minyak menyebabkan keretanya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan lampu isyarat sebelum melambung serta menghempap kenderaan dipandu mangsa yang berada di laluan bertentangan.

“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk proses bedah siasat, manakala pemandu Suzuki Swift pula luka di kaki dan sakit di bahagian dada,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 6:46 PM