Keadaan kenderaan mangsa yang terbabit kemalangan. FOTO Aslina Abu Bakar
Keadaan kenderaan mangsa yang terbabit kemalangan. FOTO Aslina Abu Bakar
Zatul Iffah Zolkiply


DUA remaja termasuk seorang pelajar pondok maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Kampung Tualang, Manir, Kuala Terengganu malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa, Mohammad Azwar Athari Mohd Rezali, 19, dan Muhammad Shahrul Aiman Mohd Fauzi, 15, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berhari raya dari arah Kampung Durian Mas menghala ke Manir.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mereka bertembung dengan sebuah Perodua Viva dinaiki empat sekeluarga yang datang dari arah bertentangan.

"Perodua Viva dipandu seorang wanita berusia 29 tahun yang datang dari arah Pasar Manir dikatakan memotong sebuah kenderaan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa yang parah meninggal di tempat kejadian sebelum jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

"Difahamkan, pemandu wanita dan dua lagi penumpang hanya cedera ringan manakala budak lelaki berusia 11 tahun yang cedera dirawat di HSNZ," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 12:01 PM