Mohamad Fakrul Hakimi menerima kunjungan daripada Khirul Nizam dan menyampaikan sumbangan kepada Yusoff Mohd Noor, di Kampung Melayu Pandan. FOTO Mary Victoria Dass
Mohamad Fakrul Hakimi menerima kunjungan daripada Khirul Nizam dan menyampaikan sumbangan kepada Yusoff Mohd Noor, di Kampung Melayu Pandan. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


“HARAPAN saya, sekiranya diizinkan Allah, saya mahu bangun dan bekerja,” kata graduan orang kurang upaya (OKU) Mohamad Fakrul Hakimi Yusof, 25, yang terlantar sejak tiga tahun lalu.

Mohamad Fakrul Hakimi berkata, dia yang mengalami masalah saraf sejak dilahirkan mengalami keilatan dari paras pinggang ke bawah.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, ketika di bangku sekolah, keadaannya masih boleh bergerak dengan menggunakan tongkat.

Menurutnya, dia bersyukur kerana dapat melanjutkan pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu selama dua tahun bermula 2014 hingga 2016 serta berjaya memiliki Diploma Perdagangan Antarabangsa.

“Ketika di universiti saya mula berkerusi roda, namun selepas tamat pengajian, keadaan bertambah buruk selepas terjatuh di rumah saudara ketika mahu menghadiri temu duga.

“Ia memusnahkan impian saya untuk bekerja selain mengakibatkan saya tidak mampu bergerak langsung walaupun menggunakan peralatan sokongan.

“Kini sudah hampir tiga tahun saya terlantar dan dijaga oleh bapa (Yusoff Mohd Noor, 65) dan dua orang adik lelaki kerana ibu sudah meninggal dunia ketika saya berusia 15 tahun,” katanya yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

Mohamad Fakrul Hakimi berkata, dia juga berhijrah ke Johor Bahru bersama bapa dan dua orang adik yang mahu mencari rezeki di bandar raya ini dua tahun lalu.

“Selepas berpindah di sini, dan menumpang di rumah kenalan di Kampung Melayu Pandan, saya mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan mendapatkan rawatan fisioterapi.

“Namun tiada perubahan ketara dan doktor menyatakan peluang saya untuk sembuh adalah tipis,” katanya.

Menurutnya, dia kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM250 setiap bulan.

“Kadang-kadang kami mengharapkan ihsan rakan bapa untuk makan tengah hari dan malam dan bagi menyambut Ramadan, kami masih tidak melakukan sebarang persiapan,” katanya.

Mohamad Fakrul Hakimi memiliki dua adik lelaki termasuk Muhamad Arif, 23 dan Muhammad Hafiz, 21.

Semalam Mohamad Fakhrul menerima kunjungan daripada Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Khirul Nizam Mat Said.

Khirul Nizam berkata, MAIJ juga sudah meluluskan bantuan perubatan bulanan berjumlah RM300 kepada pesakit berkenaan.

“Diharap bantuan berkenaan mampu meringankan beban keluarga terbabit,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Mohamad Fakrul menerusi akaun Agrobank

2006691000212755.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 4:03 PM