KEADAAN tempat tinggal Noorazlina Abdullah (kanan) yang memikul tanggungjawab menyara lima adiknya. FOTO Mary Victoria Dass
KEADAAN tempat tinggal Noorazlina Abdullah (kanan) yang memikul tanggungjawab menyara lima adiknya. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


“KAMI tidak mengenali insan yang membantu, namun berserah kepada Allah SWT untuk membalas jasa mereka,” kata Noorazlina Abdullah, 17, yang memikul tanggungjawab menyara lima adiknya berusia dua hingga 16 tahun.

Noorazlina berkata, kini keadaan keluarganya bertambah baik dan ceria apabila kehidupan serba kekurangan selama ini mula mendapat perhatian ramai selepas kisah penderitaan mereka disiarkan Harian Metro.

Menurutnya, hasil bantuan orang ramai, adik keduanya, Puteri Dennish Ismilralldha, 14, bersekolah semula di Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Tiram (SMKUT), Ulu Tiram.

Katanya, dia dan adiknya, Mohamad Denny Hakimie, 16, bercadang mengikuti kursus kemahiran pada masa depan untuk menampung kehidupan berikutan beberapa tahun ketinggalan pelajaran.

“Saya berterima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang membenarkan adik kembali bersekolah.

“Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan yang tampil memberikan membantu.

“Kami tidak mengenali mereka, termasuk orang ramai dan pembaca Harian Metro yang menyalurkan sumbangan menerusi akaun saya, namun kami amat berterima kasih, hanya Allah mampu membalas jasa baik mereka,” katanya.

Noorazlina berkata, tiada yang lebih penting kecuali menjaga kebajikan dan keselamatan adik-beradiknya yang berstatus anak yatim selepas kematian ibu, Salina Suleiman, 34, akibat kanser rahim, pada 7 Disember lalu.

Episod duka enam beradik itu berlarutan, selepas kehilangan ibu tersayang mereka diduga apabila terpaksa berpisah dengan bapa berusia 38 tahun selepas lelaki itu diperintah buang daerah dan difahamkan kini berada di Melaka.

Sejak awal tahun ini, Noorazlina nekad bekerja di kilang bagi menyara kesemua adiknya Mohamad Denny Hakimie, 16, Puteri Dennish Ismilralldha, 14, Puteri Nur Isfarrizah Zehra, 5, Puteri Nur Isma Balqis, 4 dan Muhd Fateh Ikhwan, 2, dengan pendapatan RM600 sebulan.

Gadis berkenaan juga bersyukur kerana seorang penduduk di Ulu Tiram, Mohd Zamri Maulud sanggup menanggung sewa bilik di bangunan rumah kedai di Jalan Cempedak, bandar Ulu Tiram.

Mohd Zamri berkata, dia lega melihat keadaan enam beradik itu lebih baik berbanding sebelum ini.

“Enam beradik itu kelihatan lebih sihat dan ceria, saya membantu dengan menyediakan tempat tinggal lebih sesuai bagi mereka disebabkan masing-masing semakin membesar,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu enam beradik berkenaan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun RHB Noorazlina di 15143200040694.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 8:39 PM