MOHD Adnan ditemui  PPDA yang melakukan pencarian  di Jalan Kolam Takungan Taman Cahaya Sungai Chua petang ini. FOTO IHSAN BOMBA
MOHD Adnan ditemui PPDA yang melakukan pencarian di Jalan Kolam Takungan Taman Cahaya Sungai Chua petang ini. FOTO IHSAN BOMBA
Muhaamad Hafis Nawawi


Kajang: "Saya hanya sempat melihat ayah sedang menyelamatkan adik yang tidak pandai berenang sebelum menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi kolam."

Begitu kata Mohamad Mustaqkim Mohd Adnan, 17, yang terselamat ketika perahu dinaiki mereka di kolam takungan Taman Cahaya Sungai Chua, di sini, terbalik, hari ini.

Dia dan adiknya Hakimi Mohd Adnan, 15, membantu bapa mereka Mohd Adnan Johdi, 50, membersihkan kolam takungan itu sejak jam 11 pagi.

Mohamad Mustaqim berkata, mereka melakukan kerja mengutip sampah dan memotong daun teratai yang diletakkan ke dalam perahu yang dinaiki sebelum ia semakin berat dan tenggelam.

"Saya hanya sempat melihat ayah sedang menyelamatkan adik yang tidak pandai berenang sebelum menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi kolam," katanya.

Suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian sebaik mayat kedua-dua mangsa ditemui apabila ahli keluarga saling berpelukan sambil menangis.

Turut kelihatan anak perempuan dan isteri mangsa yang menangis ketika melihat mayat bapa dibawa ke tebing kolam.

Difahamkan Mohd Adnan adalah kontraktor yang melakukan kerja-kerja pembersihan kolam berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, mayat pertama ditemukan jam 5.12 petang, manakala mayat Hakimi ditemukan kira-kira tiga meter dari tempat kejadian pada jam 6.56 petang.

Berita berkaitan:

  • Mayat dua beranak lemas sudah ditemukan
  • Dua beranak hilang, bot dinaiki terbalik
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 8:29 PM