GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


PERSELISIHAN faham menjadi punca lelaki ditikam dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Merbah, Puchong kelmarin.

Dalam kejadian 5.15 pagi itu, mangsa berusia 20-an dikatakan bersama dua rakannya ke restoran berkenaan.

Menurut sumber, ketika berada di dalam restoran, lelaki dipercayai mabuk memaki mangsa.

Katanya, mangsa kemudian menampar lelaki itu sebelum dia membalas semula tamparan itu.

“Suspek yang bengang kemudian membaling kerusi dan mengambil pisau daripada kawannya lalu menikam mangsa di bahagian dada sebelum beredar.

“Rakan mangsa kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta di Subang Jaya untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, suspek berusia lingkungan 30-an ditahan polis di sekitar Petaling Jaya 3 petang semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Mangsa yang masih dirawat di pusat perubatan itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 2:35 PM