AHLI keluarga mangsa ketika di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang.
AHLI keluarga mangsa ketika di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang.
Nurul Hidayah Bahaudin


BEKAS suami kepada wanita warga China yang ditemui mati dibunuh di tempat letak kereta Jalan Merbah, Pusat Bandar Puchong Jaya, di sini, ditahan, hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan di Genting Highlands, Pahang kira-kira jam 2 pagi.

“Kami menolak unsur samun kerana barang milik mangsa ada ditemui bersamanya termasuk kunci kenderaan, namun siasatan lanjut masih diteruskan.

“Tiada pengakuan direkodkan daripada suspek dan dia direman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) hingga 26 Februari nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismadi berkata, kecederaan berganda akibat dipercayai ditikam menggunakan pisau menjadi punca kematian wanita terbabit.

“Terdapat beberapa kecederaan luka di leher, kepala, bahagian hadapan serta belakang badan mangsa dan senjata digunakan dalam kes ini dipercayai pisau.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-80742222 atau tampil di balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah dengan kesan kelar di badan oleh anggota unit peronda Balai Polis Puchong Jaya yang sedang meronda pada jam 10.20 malam, semalam.

Berita berkaitan:

  • Terbaring berlumuran darah
  • [UPDATE] Tak sangka ibu dibunuh
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 6:54 PM