LAPORAN Harian Metro.
LAPORAN Harian Metro.
Nurul Hidayah Bahaudin


SAYA tidak sangka ibu saya dibunuh dalam keadaan ngeri dengan lehernya hampir putus,” kata anak kepada wanita yang ditemui mati dipercayai dibunuh di tempat letak kereta Jalan Merbah, Pusat Bandar Puchong Jaya, di sini, malam semalam.

Anak perempuan mangsa yang enggan dikenali berkata, ibunya berusia 49 tahun itu tinggal bersendirian di pangsapuri berhampiran lokasi kejadian berkenaan.

“Menurut rakan ibu, dia pergi ke rumah kawan untuk makan bersama pada petang semalam (kelmarin) sebelum pergi ke pusat beli-belah yang terletak hanya lima minit dari rumahnya bagi membeli barang.

“Difahamkan ibu memandu bersendirian ke pusat beli-belah berkenaan. Namun, ibu dikatakan meletakkan kenderaan di lokasi kejadian sebelum ditemui dibunuh dalam keadaan mengerikan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, di sini, hari ini.

Menurutnya, ibunya adalah peniaga dalam talian dari Chongqing, China yang sudah lama menetap di negara ini.

“Bagaimanapun ibu dan ayah yang juga warga tempatan sudah bercerai sejak tiga tahun lalu.

“Saya belum memaklumkan perkara yang berlaku ini kepada adik perempuan saya berusia 14 tahun yang berada di asrama sekolahnya.

“Pada masa sama, saya masih cuba menghubungi ayah untuk memaklumkan kepadanya mengenai perkara ini,” katanya yang juga anak sulung mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan ketika dihubungi, di sini, hari ini, mengesahkan status mangsa sebagai penduduk tetap.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang giat dijalankan termasuk mengenal pasti suspek yang terbabit.

“Pada masa sama, kami masih menunggu keputusan bedah siasat terhadap mangsa yang sedang dijalankan,” katanya.

Wanita terbabit ditemui mati dipercayai dibunuh di kawasan letak kereta Jalan Merbah, Pusat Bandar Puchong Jaya di sini, malam semalam.

Ismadi berkata, anggota unit peronda (MPV) Balai Polis Puchong Jaya yang bertugas menjalankan rondaan menemui mayat mangsa pada jam 10.20 malam.

"Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah dan terdapat kesan kelar di badan.

"Semakan lanjut pada kereta Toyota Camry yang ditemui di lokasi kejadian mendapati ia milik wanita berusia 50-an beralamat di Puchong Jaya dipercayai mangsa," katanya.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan termasuk menyemak rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

  • Terbaring berlumuran darah
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 2:12 PM