ANTARA peniaga asing yang masih berdegil meneruskan perniagaan di Pasar Selayang, semalam.
ANTARA peniaga asing yang masih berdegil meneruskan perniagaan di Pasar Selayang, semalam.
Iqhram Ahmad


SELAYANG: Walaupun Pasar Borong Selayang di sini, baru saja diserbu pihak berkuasa kelmarin, masih ada warga asing terutama dari Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang tidak gentar dan terus berdegil menjalankan perniagaan secara haram.

Tinjauan Harian Metro di pasar itu semalam, mendapati sekitar luar pasar itu masih dipenuhi warga asing yang menjalankan perniagaan.

Dianggarkan 30 gerai dibuka warga asing terbabit yang menjalankan perniagaan menjual sayur-sayuran dan buah-buahan.

Difahamkan, kebanyakan warga asing itu berniaga tanpa permit dan berani berbuat demikian kerana kehadiran mereka yang ramai serta diawasi warga tempatan.

Mereka akan lari lintang-pukang bersembunyi meninggalkan gerai apabila mendengar atau mengesan kehadiran pihak berkuasa yang menjalankan operasi sebelum menyambung semula operasi perniagaan keesokannya.

Peniaga terbabit membisu apabila wartawan cuba mendapatkan pengesahan berkaitan sewa tapak dan operasi yang dijalankan di kawasan itu.

PENIAGA asing selamba menguruskan gerainya walaupun diserbu pihak berkuasa.
PENIAGA asing selamba menguruskan gerainya walaupun diserbu pihak berkuasa.

Seorang pengunjung pasar itu, Ahmad Rashidi berkata, memang sejak dulu lagi kawasan pasar itu dipenuhi peniaga warga asing, khususnya di tepi jalan sepanjang pasar itu.

Ahmad Rashidi yang kerap membeli barangan mentah di pasar itu mengakui kawasan itu sentiasa dipenuhi warga asing.

“Setiap kali saya ke sini untuk membeli barangan dapur, pagi atau malam, kawasan ini sentiasa dipenuhi warga asing.

“Dengan persekitaran kotor serta bau busuk, saya musykil barangan yang dijual mereka selamat untuk dimakan,” katanya.

Suri rumah, Rubiah Harun berkata, kedudukan kawasan perniagaan di tepi jalan itu menyebabkannya takut singgah membeli barang.

“Walaupun barang dijual dengan harga murah, saya risau kerana kawasan perniagaan dipenuhi kereta dan lori yang membahayakan keselamatan.

“Saya lebih rela beli barang dapur di pasar borong berdekatan berbanding gerai di tepi jalan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 7:00 AM