CECAIR dipercayai telur busuk yang dibaling dan ditinggalkan di rumah mangsa. FOTO Ihsan pembaca.
CECAIR dipercayai telur busuk yang dibaling dan ditinggalkan di rumah mangsa. FOTO Ihsan pembaca.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Gara-gara gagal melunaskan pinjaman along, seorang ahli perniagaan berdepan detik cemas apabila rumahnya dibaling telur busuk tiga kali dalam kejadian minggu lalu.

Mahu dikenali sebagai Razif, usahawan berusia lingkungan 50-an itu berkata pada mulanya dia terpaksa membuat pinjaman hampir RM40,000 daripada seorang along selepas mengalami masalah kewangan.

Katanya, biarpun membuat pinjaman melalui syarikat pinjaman wang berlesen yang disahkan, akhirnya dia terjerat selepas kadar faedah melambung tinggi, jauh dari kadar pinjaman asal.

"Selepas berbincang pihak syarikat berkenaan mula berdolak dalik dan menukar kadar faedah lebih tinggi tidak seperti yang diiklankan malah secara tiba-tiba memindahkan wang ke dalam akaun miliknya.

"Saya bincang dengan dia (syarikat) dan katanya akan hantar orang jumpa saya, tetapi tiba dia masuk terus duit dalam akaun saya dan paksa saya bayar.

"Kadar faedah pula bertukar tinggi macam along dan saya dipaksa faedah dari lapan ke 15 peratus setiap bulan. Saya tiada jalan lain melainkan cuba bayar tetapi sampai sekerat jalan syarikat ada masalah lagi," katanya kepada Harian Metro.

Razif berkata, dia cemas apabila mendapati rumahnya dibaling dengan telur busuk tiga kali baru-baru ini dan berterusan menerima ugutan daripada along yang mahu dia membayar hutang.

"Saya sudah bayar separuh tetapi masalah kewangan syarikat buat masa ini jadi saya tak dapat buat bayaran seketika," katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Rawang berhubung kejadian itu.

Menurutnya, bimbang sesuatu yang lebih buruk berlaku, dia merujuk kes berkenaan kepada Pengerusi Pertubuhan Gerakan Tranformasi Pengguna Malaysia (GTPM) Azman Kang Abdullah.

Sementara itu Azman berkata, trend membaling telur busuk ke rumah pengadu adalah taktik terbaru along untuk menakut-nakutkan peminjam.

Katanya, pemberi pinjaman wang itu terbukti bukanlah syarikat kredit berlesen kerana mengenakan kadar lebih tinggi daripada yang dibenarkan di dalam akta.

"Ini berlaku kerana pengadu mampu membayar kepada mereka. Bila ada peluang, along akan mengenakan caj lebih tinggi menyebabkan peminjam akan terperangkap.

"GTPM berharap pihak berwajib bertindak ke atas isu-isu seperti ini kerana jika tidak, along akan terus bermaharajalela seolah-olah negara kita tidak ada undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 4:54 PM