Enam wanita yang ditahan dalam sebuah Grab 2 April lalu. FOTO Ihsan AKSEM
Enam wanita yang ditahan dalam sebuah Grab 2 April lalu. FOTO Ihsan AKSEM
Zuliaty Zulkiffli


AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah mengesyaki ejen sindiket membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini kini menggunakan kenderaan perkhidmatan e-hailing, Grab untuk mengaburi pihak berkuasa.

Ia berikutan kes terbaru membabitkan enam wanita warga Myanmar dari etnik Rohingya berusia sekitar 20-an yang ditahan anggota AKSEM dalam Ops Pintas bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Lebuhraya Utara Selatan sekitar Kubang Pasu 2 April lalu dalam kenderaan Grab yang dinaiki mereka.

Komander AKSEM Kedah, Abdul Latif Abd Rahman berkata, berdasarkan kes berkenaan siasatan awal pihaknya percaya kumpulan PATI itu mungkin menyusup masuk ke negara ini secara haram dengan menyorok di belakang lori atau kenderaan awam dari negara jiran.

Beliau berkata, mereka kemudian menaiki Grab yang dipercayai diupah ejen di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Bukit Kayu Hitam untuk membawa PATI itu ke Pulau Pinang bagi mencari pekerjaan.

“Kita dapati kumpulan PATI itu tidak lagi menyorok melalui lubang tidak berpagar atau kawasan sempadan tetapi menggunakan pengangkutan awam atau kenderaan berat untuk masuk ke negara ini.

“Mungkin masih ada yang menggunakan cara itu (masuk melalui kawasan tidak berpagar) tapi setakat ini sudah kurang,” katanya hari ini.

Abdul Latif berkata, disebabkan itu, anggotanya sentiasa melakukan pemeriksaan ketat terhadap kenderaan yang mencurigakan di kawasan sempadan iaitu di Bukit Kayu Hitam atau Kota Putra di Durian Burung untuk memastikan tiada penyeludupan manusia berlaku.

Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan terbaru dilakukan membabitkan PATI walaupun kumpulan itu sentiasa mencari ruang untuk masuk ke negara ini secara haram.

“Semua tangkapan itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada hari sama untuk tindakan lanjut.

“Anggota kami akan memastikan tidak berlaku penyeludupan PATI di kawasan sempadan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 10:16 PM