FISOL (kanan) menunjukkan pistol dan barangan lain yang dirampas susulan penahanan 12 ejen sindiket pemerdagangan manusia di Kedah. FOTO Syaharim Abidin.
FISOL (kanan) menunjukkan pistol dan barangan lain yang dirampas susulan penahanan 12 ejen sindiket pemerdagangan manusia di Kedah. FOTO Syaharim Abidin.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Bayaran dikenakan ejen antara RM5,000 hingga RM7,000 seorang untuk diseludup masuk ke negara ini, sama ada menerusi jalan laut atau darat.

Ejen sindiket pemerdagangan manusia itu pula dikatakan mempunyai hubungan atau bekerjasama dengan ejen sindiket di Myanmar.

Modus operandi itu dibongkar Polis Kedah susulan penahanan 12 ejen sindiket yang aktif di negeri ini, menerusi serbuan Ops Pintas sejak 15 Ogos hingga 7 September lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, sembilan warga tempatan dan tiga warga asing daripada lima sindiket itu diberkas dalam dua serbuan di Langkawi dan tiga di Kubang Pasu.

Katanya, turut ditahan 47 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar berumur antara 15 hingga 50 tahun kerana masuk tanpa dokumen sah.

"Kumpulan sindiket ini tidak berkaitan (satu sama lain), namun modus operandi mereka sama iaitu menyeludup migran melalui jalan laut dan darat, serta mempunyai hubungan dan kerjasama dengan ejen sindiket di Yangon, Myanmar.

"Semua migran ini dijanjikan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor negara ini. Mereka perlu bayar antara RM5,000 hingga RM7,000 setiap seorang sebelum dibawa masuk," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Fisol berkata, dua kenderaan antara dirampas ketika serbuan di ladang getah Felda Laka Temin, Bukit Kayu Hitam, manakala tiga serbuan di Taman Tunku Sarina dan Taman Kemuning di Kulim serta hotel di Taman Pekan Jitra, menemukan sepucuk pistol jenis Revolver .38 bersama enam butir peluru hidup.

"Turut dirampas 10 butir peluru hidup dalam satu kotak rokok; 3,762 pil kuda; 0.49 gram(g) heroin dan syabu seberat 693.08g selain, peralatan menghisap dadah dan wang tunai RM4,550 serta Thai Bath 1,300," katanya.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Susulan itu, beliau berkata, pertemuan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah diadakan untuk membincangkan tindakan efektif yang boleh diambil bagi mengekang penyeludupan migran termasuk menambah baik infrastruktur di sempadan berpagar (darat) selain laut di Langkawi.

Dalam pada itu, Fisol berkata, polis juga menumpaskan kegiatan penyeludupan diesel di Kubang Pasu dengan merampas 7,950 liter bahan bakar itu pada 31 Ogos hingga 8 September lalu.

"Sepanjang tempoh itu tujuh lelaki Thailand dan dua lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 50 tahun ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 2:19 PM