Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Cubaan tiga lelaki tempatan yang berperanan sebagai tekong darat menghantar 17 pendatang tanpa izin (Pati) ke Setiawan, Perak gagal apabila mereka ditahan polis.

Kesemua mereka yang menaiki tiga kenderaan itu ditahan di Plaza Tol Hutan Kampung, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi.

Menurut sumber, lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Lalat atau Cola yang fasih berbahasa Melayu itu dipercayai antara dalang yang mengatur kemasukan Pati di kawasan sempadan.

"Dia mengatur ejen (tekong) untuk ambil kumpulan Pati yang berjaya masuk ke negara ini di kawasan Changlun sebelum dihantar ke Sitiawan, Perak.

"Lalat dipercayai menunggu di tepi jalan, apabila kenderaan (tekong darat) tiba, dia mengarahkan Pati yang menyorok masuk ke dalam kereta untuk di hantar ke Sitiawan," katanya memaklumkan tekong darat itu akan dibayar RM200 setiap seorang Pati sebaik tiba di Setiawan.

Sumber itu berkata, siasatan awal mendapati kumpulan Pati itu dibawa masuk dari Myanmar ke Thailand melalui jalan darat dan berada di Thailand selama lima hari sebelum menyusup ke negara ini.

"Ejen Thailand dipercayai membawa Pati masuk melalui pagar sempadan di Bukit Tangga di Bukit Kayu Hitam yang dirosakkan sebelum disambut ejen Myanmar di sempadan Malaysia.

"Kita percaya setiap Pati membayar RM6,000 kepada ejen Myanmar sebelum memasuki Malaysia," katanya.

Penahanan tekong darat dan Pati itu disahkan, Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 26A Atipsom 2007 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 4:42 PM