ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Belukar, Tunjang, Jitra, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Belukar, Tunjang, Jitra, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Zuliaty Zulkiffli


“TIADA apa dapat diselamatkan melainkan hanya mampu melihat rumah itu musnah sekelip mata,” kata Mohd Noor Sulaiman, 43, selepas rumah dua tingkat separa batu dan kayu di Kampung Belukar, Tunjang, Jitra, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Mohd Nor yang juga saksi kejadian berkata, dalam kebakaran 6 petang itu, semua penghuni rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri dan api merebak dengan cepat.

“Penduduk kampung cuba nak padam, tetapi gagal sebab api marak dengan cepat dan terpaksalah tunggu pasukan bomba tiba,” katanya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.08 petang.

Beliau berkata, sepasukan 13 anggotanya tiba di lokasi pada 6.21 petang bersama sebuah jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Operasi memadam kebakaran itu turut dibantu lapan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tunjang.

“Api berjaya dikawal pada jam 6.31 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada 7.58 malam.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu,” katanya.

Mohd Bustan berkata, turut musnah dalam kebakaran itu adalah empat motosikal dan sebuah van milik penghuni rumah berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 9:40 PM