ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat di Kampung Teluk Malek yang musnah 80 peratus. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat di Kampung Teluk Malek yang musnah 80 peratus. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


WARGA emas wanita terselamat apabila rumah dua tingkat separa kayu dan batu yang didiami bersama dua cucunya musnah dalam kebakaran di Kampung Teluk Malek, di Jitra, hari ini.

Dalam kejadian 1.25 pagi itu, mangsa berusia 72 tahun diselamatkan dua cucunya sebaik menyedari rumah itu sedang terbakar.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Pegawai Bomba Kanan II Che Kop Che Dan berkata, pihaknya menerima panggilan 1.30 pagi dan sepasukan anggotanya tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Beliau berkata, operasi disertai 13 anggota dari BBP Jitra bersama tiga jentera termasuk sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Operasi turut dibantu anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Air Hitam seramai 20 anggota.

“Setibanya di lokasi didapati api sedang marak di rumah berkenaan dan anggota kami berusaha memadam kebakaran berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Che Kop berkata, api dikawal 1.47 pagi tadi, namun kebakaran itu membabitkan kemusnahan 80 peratus di tingkat atas rumah berkenaan.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

“Punca serta kerugian masih dalam siasatan dan operasi tamat sepenuhnya 2.52 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 8:45 AM