Zuliaty Zulkiffli


Jitra: "Segala-galanya musnah sekelip mata," kata Mohd Akram Mohd Johari, 31, selepas mendapati kedai runcit diusahakan bersama adiknya, Mohd Aslam, 22, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.20 pagi itu, 15 rumah kedai di Kampung Sungai Korok di sini, musnah.

Mohd Akram berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan orang ramai yang datang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari situ.

Katanya, dia bergegas untuk melihat apa yang berlaku, namun sayu apabila mendapati kedai runcitnya tidak dapat diselamatkan.

"Memang sedih la tengok kedai runcit yang diusahakan sejak dua tahun lalu habis musnah kerana barang-barang dalam kedai tu banyak, semuanya terbakar tapi tak tahu jumlah kerugiannya lagi.

"Sebelah kedai kami tu, kedai motosikal manakala yang lain tu kebanyakannya kediaman penduduk tetapi semuanya sempat keluar menyelamatkan diri ketika kejadian," katanya.

Mohd Akram berkata, kedai runcit miliknya itu beroperasi antara 8 pagi sehingga 7.30 malam setiap hari, namun pada waktu kejadian tiada siapa di situ.

Katanya, dia reda dengan apa yang berlaku walaupun terjejas mata pencarian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Mohd Bustan Karudin berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.

Beliau berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.25 pagi dan sepasukan anggotanya iaitu seramai 10 orang dari BBP Jitra tiba di lokasi, tidak lama kemudian.

Beliau berkata, operasi turut dibantu 60 anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ayer Hitam, Tunjang, Kilang Tebu, Simpang Empat, Padang Sera, Kundur, Kuala Kedah, Kampung Berjaya, Kota Sarang Semut, Mergong dan Kodiang.

"Api berjaya dikawal pada 3.20 pagi. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 7:49 AM