RUMAH milik warga emas di Kampung Permatang Paku, Tunjang, Jitra, Kedah, hangus dalam kebakaran pagi tadi.
RUMAH milik warga emas di Kampung Permatang Paku, Tunjang, Jitra, Kedah, hangus dalam kebakaran pagi tadi.
Zuliaty Zulkiffli


"RUMAH pusaka ini musnah terbakar sebaik makcik pulang dari urusan tidak sampai sejam," ujar mangsa kebakaran di Kampung Permatang Paku, Tunjang, Jitra, Kedah, Che Manis Abas, 70.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi tadi, rumah pusaka dua tingkat yang didiami wanita warga emas itu bersama anak menantu dan dua cucunya itu musnah dalam kebakaran mendadak.

Ketika kejadian, Che Manis dikatakan keluar bersama salah seorang cucu perempuannya untuk melakukan bancian baja di kawasan Jerlun.

"Menggeletar badan makcik bila nampak api masih menyala di tingkat atas rumah dan ketika itu makcik hanya mampu beristighfar panjang.

"Semua barangan di tingkat atas dan bawah kediaman musnah. Cuma bahagian dapur rumah sahaja tidak terbakar," katanya ketika ditemui wartawan.

Che Manis berkata, dia reda dengan apa yang berlaku dan bersyukur kerana ahli keluarganya terselamat dalam kejadian itu.

Buat sementara waktu, mereka sekeluarga akan berteduh di bahagian dapur rumah berkenaan sementara menunggu rumah itu dibaiki sepenuhnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin tiba di lokasi kejadian pada jam 10.14 pagi.

"Api berjaya dikawal jam 10.29 pagi. Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 6:48 PM