Safeek Affendy Razali


DUA pengasuh yang juga suspek utama kes kematian bayi berusia lima bulan Adam Raykal Mohd Sufi Naeif dipercayai panik selepas mangsa tersedak susu.

Pengasuh berusia 33 dan 36 tahun itu dipercayai bertindak membalut jasad Adam dengan kain lampin sebelum memasukkannya dalam beg kitar semula berwarna hijau.

Suspek kemudian bertindak menyembunyikan mayat bayi berkenaan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah mereka.

Sumber berkata, kerana panik, suspek juga mereka cerita memaklumkan bapa mangsa bahawa bayinya sudah diambil oleh seorang lelaki berbaju putih.

“Suspek terbabit berkemungkinan khuatir sehingga terpaksa mereka cerita tentang Adam yang sudah diserahkan kepada seorang lelaki.

“Susulan itu, ibu bapa bayi berkenaan kemudian membuat laporan polis sebelum pemeriksaan dijalankan di rumah pengasuh,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pada masa ini siasatan lanjut sedang dijalankan bagi membolehkan pihak polis mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa dari pelbagai sudut.

“Polis juga sedang menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian Adam sama ada akibat tersedak susu atau wujud unsur jenayah,” katanya.

Katanya, pada masa ini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

'Adam Rayqal, jaga diri di sana ya'

Jenazah Adam Rayqal dikebumikan di Terengganu

'Kematian Adam Rayqal begitu tragis - Datuk'

'Suspek kes Adam Rayqal direman bantu siasatan'

'[UPDATE] Ibu bapa Adam Rayqal buat pengecaman'

'[UPDATE] Adam Rayqal ditemui mati di rumah pengasuh'

'Kembalikan anak kami...'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 5:44 PM