Nurul Fhatihah Zakinan

KERAJAAN negeri memperuntukkan RM15 juta setahun kepada penuntut yang menyambung pengajian dalam pelbagai bidang pendidikan di luar negara menerusi pinjaman dan Dermasiswa Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, program Dermasiswa TAPEM yang julung kali diperkenalkan menaja delegasi pertama membabitkan 27 penuntut dalam bidang pengajian Islam ke Universiti Al-Azhar, Mesir membabitkan peruntukan RM20,000 seorang selama empat tahun pengajian.

Katanya, kaedah pemilihan dinilai oleh Sekretariat Pengurusan Pelajar Luar Negara (SPPLN) terhadap pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang memperoleh mumtaz dan jayyid jiddan dalam peperiksaan 2018.

“Kerajaan negeri akan memantau penuntut (luar negara) ini kerana kita mahu petunjuk prestasi utama (KPI) 100 peratus dicapai, dengan memastikan penuntut menamatkan pengajian cemerlang mengikut tempoh ditetapkan.

“Aspek TAPEM menyeluruh, bukan menumpukan bantuan kepada satu bidang dan satu kaum sahaja. Ada pengajian lain seperti kedoktoran dan kejuruteraan, kita juga kini menilai bidang sukan untuk mengenal pasti tokoh pelajar yang berkemampuan dalam bidang sukan,” katanya.

ADLY Zahari (tiga dari kanan)  beramah mesra bersama pelajar pada Majlis Pelepasan Pelajar Yang Menerima Dermasiswa Pengajian Islam Kerajaan Negeri Melaka ke Mesir di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
ADLY Zahari (tiga dari kanan) beramah mesra bersama pelajar pada Majlis Pelepasan Pelajar Yang Menerima Dermasiswa Pengajian Islam Kerajaan Negeri Melaka ke Mesir di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 6:02 AM