Ahmad Razin meninggal dunia di Kaherah, Mesir, pagi semalam. FOTO Facebook Allahyarham Ahmad Razin
Ahmad Razin meninggal dunia di Kaherah, Mesir, pagi semalam. FOTO Facebook Allahyarham Ahmad Razin
Amir Mamat


Ayer Keroh: Yang Dipertua Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM), Ahmad Razin Mohd Fauzi meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru, di Kaherah, Mesir, semalam.

Ahmad Razin, 23, pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda (Pengajian Bahasa Arab) Universiti Al-Azhar, Mesir yang berasal dari Kampung Paya Dalam, Ayer Molek, di sini meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kasr al-Aini, Kaherah kira-kira 9 pagi waktu Mesir (3 petang waktu Malaysia).

EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Wira Md Yunos Husin berkata, pelajar yang mendapat tajaan pendidikan daripada Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM), Jabatan Ketua Menteri itu sepatutnya menamatkan pengajian hujung tahun ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Pegawai Atase Melaka di Mesir, Anwar Idris sedang melakukan urusan ke atas jenazah Allahyarham untuk dibawa pulang ke kampung halamannya yang dijangka tiba di tanah air malam esok.

"Segala kos rawatan dan urusan membawa balik jenazah Allahyarham akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

"Kita kehilangan seorang pendakwah muda yang baik dan berkaliber. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka bersabar dan menerima ketentuan Allah itu dengan hati terbuka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Perkhabaran sedih itu turut dimaklumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron ketika memulakan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Negeri di Dewan Seri Negeri, di sini pagi tadi.

Ahmad Razin dipilih sebagai Yang Dipertua BKKIMM sejak 2015 hingga kini.

Sementara itu, Pengurus Besar TAPEM, Mustafa Musa berkata, pihaknya menziarahi keluarga Allahyarham di Kampung Ayer Molek, tengah hari tadi, bagi menyatakan rasa simpati atas kematian pelajar berkenaan.

Katanya, TAPEM berasa terharu dengan pemergian mengejut Ahmad Razin yang disifatkan sebagai pelajar cemerlang dan tinggi budi pekerti.

"Keluarga Allahyarham amat berterima kasih kepada kerajaan negeri, TAPEM dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang menguruskan jenazah anaknya itu untuk dibawa pulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 3:59 PM