MAYAT mangsa.
MAYAT mangsa.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KANAK-KANAK lelaki berusia enam tahun ditemui lemas di di Sungai Pergau berhampiran kawasan lombong emas Kuala Balah, Jeli, hari ini.

Mangsa, Muhammad Faris Izwan Mohd Fazli, 6, ditemui pada jam 12.40 tengah hari, sejauh 1.3 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, mangsa dihanyutkan air dan ditemui di permukaan air oleh pasukan bomba dan penduduk kampung.

“Jenazah mangsa dibawa keluar sebelum dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa berjalan lancar kerana cuaca yang agak baik yang dibantu penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, operasi itu disertai 25 anggota bomba termasuk 10 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

Terdahulu, kanak-kanak berusia enam tahun itu bersama dua rakan berusia enam dan sembilan tahun mandi di Sungai Pergau, pada 3 petang semalam.

Kehilangan mangsa disedari bapanya selepas kanak-kanak itu tidak pulang ke rumah pada 7.30 malam dan menemui baju anaknya di tebing sungai.

Bapa mangsa kemudian menghubungi bomba untuk membantu usaha mencari dan menyelamat anaknya.

Berita berkaitan

Budak dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 3:13 PM